
MELAKA | 10 Jun 26 — PAS dan UMNO disaran mencari formula baharu untuk menjalin semula kerjasama politik demi memelihara masa depan orang Melayu serta kedudukan Islam di negara ini.
Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Melaka, Khairuddin Abu Hassan, berkata kedua-dua parti Melayu terbesar itu perlu mengetepikan perbezaan lalu dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan perpaduan demi kepentingan bangsa dan agama.
Menurut beliau, PAS dan UMNO berpotensi menjadi pemangkin kepada penyatuan lebih besar melibatkan parti-parti politik Melayu lain menerusi konsep “Payung Besar” yang pernah disarankan oleh Mahathir Mohamad.
Katanya, sebarang usaha ke arah penyatuan politik Melayu perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tanpa mengabaikan hak serta kepentingan kaum-kaum lain sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Khairuddin turut mendakwa terdapat pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan terhadap landskap politik semasa untuk mempengaruhi dasar-dasar kerajaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu.
Beliau berpendapat PAS memainkan peranan penting dalam mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam, namun tanggungjawab tersebut tidak seharusnya dipikul oleh satu parti sahaja.
“UMNO, parti-parti politik Melayu lain serta pertubuhan bukan kerajaan juga perlu memainkan peranan secara jujur dan ikhlas dalam memperkukuhkan perpaduan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perpecahan dalam kalangan orang Melayu perlu dihentikan segera bagi mengelakkan kesan jangka panjang terhadap kedudukan politik dan masa depan masyarakat Melayu di negara ini.
Khairuddin berkata kebimbangan yang sering disuarakan oleh Tun Dr Mahathir mengenai risiko kehilangan pengaruh politik Melayu sekiranya perpecahan berterusan wajar diberi perhatian oleh semua pihak.
Beliau turut memuji sikap PAS yang menurutnya sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO atas dasar penyatuan ummah dan kepentingan bersama.
“Ramai orang Melayu hari ini mahu melihat satu bentuk perpaduan yang lebih kukuh dan berkekalan demi memastikan kepentingan bangsa serta agama terus terpelihara,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAS dalam satu kenyataan pengumuman menamatkan kerjasama dengan BERSATU, turut menyatakan kesediaan untuk bekerjsama dalam PRU dan PRN, dengan mana-mana parti yang berkongsi dasar dan matlamat yang sama. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.