
Isu antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mencerminkan ketegangan antara kuasa persekutuan dan negeri dalam pengurusan sumber asli, khususnya gas asli di Sarawak.
Petros ditubuhkan pada 2017 sebagai syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri Sarawak, bertujuan untuk meningkatkan kawalan negeri terhadap sumber hidrokarbonnya.
Berdasarkan laporan Reuters, Pada 1 Mac 2025, Petros secara rasmi dilantik sebagai pengagregat tunggal gas di Sarawak di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016. Ini memberikan Petros kuasa eksklusif untuk membeli, mengagihkan, dan menjual gas asli domestik di negeri tersebut. Namun, peranan ini tidak meliputi gas asli cecair (LNG), yang kekal di bawah kawalan Petronas.
Pada 2 Mei 2025, kerajaan negeri Sarawak mengeluarkan notis kepada Petronas Carigali, anak syarikat Petronas, kerana didakwa beroperasi tanpa lesen yang sah di Terminal Minyak Mentah Miri. Petronas diberi tempoh 21 hari untuk mendapatkan lesen yang diperlukan atau berdepan tindakan undang-undang dan penalti kewangan.
Borneo Post melaporkan bahawa Sarawak berhujah bahawa semua operasi minyak dan gas dalam negeri harus mematuhi Ordinan Perlombongan Minyak 1958, yang memberikan hak kepada negeri untuk mengawal sumber hidrokarbon dalam perairannya. Sebaliknya, Petronas berpegang kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), yang memberikan syarikat itu kuasa eksklusif dalam industri minyak dan gas negara.
Berdasarkan fakta, Sarawak menyumbang lebih 60% daripada rizab gas Malaysia, menjadikannya pemain utama dalam industri tenaga negara.
Pengambilalihan peranan pengagregat gas oleh Petros dijangka memberi kesan terhad kepada pendapatan Petronas, dengan anggaran impak sekitar 11%.
Namun, ketegangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur mengenai kestabilan persekitaran peraturan di Sarawak. Terdapat juga kebimbangan bahawa negeri-negeri lain mungkin menuntut hak yang serupa, yang boleh menjejaskan pelaburan dalam sektor minyak dan gas di Malaysia secara keseluruhan.
Pertikaian antara Petronas dan Petros mencerminkan usaha Sarawak untuk mendapatkan lebih banyak autonomi dalam pengurusan sumber aslinya, sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963.
Walaupun Petronas mengekalkan peranannya di peringkat nasional, pengukuhan peranan Petros menunjukkan perubahan dalam landskap tenaga negara.
Penyelesaian yang dicapai setakat ini menunjukkan kompromi, di mana Petros mengendalikan pengagihan gas domestik, manakala Petronas terus menguruskan operasi LNG dan memenuhi kontrak antarabangsa.
Kerjasama yang berterusan antara kedua-dua entiti ini penting untuk memastikan kestabilan industri tenaga Malaysia dan keyakinan pelabur.
Namun beberapa pemain industri berpandangan bahawa langkah Sarawak adalah bertujuan ingin memonopoli industri minyak dan gas.
Pada masa yang sama, mereka juga berpendapat bahawa Petros tidak mempunyai kepakaran, kelengkapan dan pengalaman yang cukup untuk memandu industri ini.
Dalam isu syarikat Conoco Philips yang menarik diri, isu ini menjadi petunjuk bahawa pihak luar juga takut dan tidak yakin dengan tindakan serta langkah-langkah yang diambil oeh Sarawak untuk mengawal sepenuhnya industri ini.
Malah, ada dikalangan pemain industri berpendapat, isu ini timbul kerana politik. Tindakan ke atas Petronas hanya kerana kekuatan politik yang terlihat sejak kerajaan bertukar.
Sebelum ini, kuasa politik kerajaan pusat tidak bergantung pada mereka, oleh itu mereka kurang berani mengambil tindakan drastik seperti sekarang ini.
Oleh yang demikian, ramai melihat pertikaian antara Petronas dan Petros sudah menjadi isu politik, bukan sekadar isu perniagaan. @analitiko