
Minggu pertama kempen hampir ke penghujung, kini berbaki minggu terakhir kempen PRN Sabah. Setakat ini, pola sokongan dan kecenderungan pengundi belum kelihatan begitu ketara.
Kempen masih belum mencapai tahap rancak dan agresif, namun mesej-mesej utama setiap blok politik sudah cukup untuk menunjukkan siapa yang sedang menguasai naratif dan siapa yang sedang bergelut dalam persaingan persepsi rakyat.
Dengan baki seminggu lagi sebelum hari mengundi, empat blok besar — BN, GRS, PH dan Warisan — kelihatan masih terbeban oleh isu calon, perbalahan dalaman, serta persepsi nepotisme yang mulai mengganggu kredibiliti masing-masing.
Dalam masa yang sama, Perikatan Nasional (PN) sedang berhempas pulas memanfaatkan suasana perlahan ini untuk mengisi ruang politik dengan strategi senyap tetapi konsisten.
Kempen BN cuba disandarkan kepada manifesto “Bikin Balik Sabah”, namun mesej itu tenggelam disebabkan beberapa kelemahan struktur dimana dibeberapa kerusi, BN dilihat masih mengharapkan calon yang sudah dua atau tiga kali bertanding, malah sebahagiannya rapat dengan tokoh lama UMNO Sabah.
Ini membangkitkan persepsi bahawa BN belum melepaskan politik keluarga dan lingkaran orang kuat parti. Pembaharuan dilihat masih jauh. Namun, sejauh mana pengundi melihat perkara ini, belum dapat dilihat dengan ketara.
Pertembungan terbuka antara BN dan GRS mengenai isu projek serta rekod pentadbiran lama menyebabkan kempen BN kelihatan defensif, bukan ofensif.
Sebagai kerajaan negeri sedia ada, GRS menghadapi tekanan paling besar. Beberapa pencalonan GRS mencetuskan kritikan daripada penyokong sendiri yang menganggap keputusan banyak dipengaruhi oleh kelompok “inner circle”, bukan merit apatah lagi wajah baru.
Walaupun memegang tampuk kerajaan, kempen GRS dianggap tidak cukup agresif untuk minggu peratama kempen. Banyak isu pentadbiran negeri seperti air, elektrik, jalan dijadikan modal serangan, dan GRS pula terpaksa memberi penjelasan berulang kali. Ini sesuatu yang tidak seharusnya berlaku kerana mereka adalah kerajaan.
Manakala Pakatan Harapan Sabah pula, menghadapi cabaran “identiti tempatan”. Sekalipun calon tempatan, tetapi ia masih dianggap sebagai pilihan pusat, bukan suara rakyat Sabah.
Sebahagian pencalonan PH dikritik kerana dilihat datang dari arahan pusat. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati cabang-cabang tempatan.
Selain beberapa tokoh DAP Sabah, kempen PH dilihat tidak cukup kuat menyentuh isu komuniti setempat secara mendalam. Banyak mesej mereka lebih sesuai untuk Semenanjung, bukan realiti Sabah.
Warisan pernah muncul sebagai parti reformis tempatan, namun PRN kali ini membuktikan cabaran besar bagi mereka. Isu nepotisme turut terpalit . Beberapa calon Warisan diketahui rapat dengan kepimpinan tertinggi, dari bekas pegawai, setiausaha khas, sehingga individu-individu yang dianggap sebahagian daripada “kelompok dalam” parti.
Sungguhpun Warisan bertanding di semua kerusi Dun, ada yang memberitahu bahawa mereka menghadapi masalah jentera yang agak terhad, dan beberapa kawasan yang dahulu kubu kuat kini dimasuki GRS dan PN dengan lebih agresif.
Dalam suasana parti lain bergelut dengan isu nepotisme, calon kroni dan pergolakan dalaman, PN dilihat agak stabil dan mengatur kempen dengan agak teratur.
Dari aspek calon, PN dilihat lebih pelbagai, terdiri daripada profesional muda, aktivis komuniti dan tokoh tempatan yang mempunyai rekod kerja.
Ceramah kelompok, walkabout dan video pendek media sosial memberikan PN capaian cepat dalam komuniti yang selama ini sukar dimasuki.
Tiada drama perebutan calon Ketua Menteri. Ronald Kiandee baru-baru ini sendiri menegaskan, semua calon boleh menjadi Ketua menteri sekiranya menang. Hingga kini tidak kelihatan isu fraksi dalam PN di Sabah. Secara tidak langsung ia tidak memberi imej yang salah kepada pengundi.
Setelah seminggu kempen, BN, GRS, PH dan Warisan masih dibayangi isu nepotisme, kronisme, dan pertikaian dalaman yang memperlahan kempen mereka.
PN pula memanfaatkan ruang ini dengan pergerakan senyap tetapi konsisten, menjadikan mereka antara blok paling berpotensi melonjak menjelang minggu terakhir PRN Sabah.
Jika trend semasa kekal, pilihan raya ini mungkin menyaksikan PN muncul sebagai penentu baharu landskap politik Sabah. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.