Mulai 2027, KPM Wajibkan Sesi Sahsiah 60 Minit Seminggu

PUTRAJAYA, 18 Okt 25 — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Program Pembentukan Karakter di bawah Kurikulum Persekolahan 2027, satu inisiatif baharu yang mewajibkan setiap sekolah memperuntukkan 60 minit seminggu khusus bagi aktiviti pembangunan sahsiah dan nilai murni murid.

Langkah itu, menurut KPM, bertujuan membentuk individu yang beradab, bersahsiah unggul dan bertanggungjawab, sejajar dengan matlamat melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik, moral serta jati diri.

“Program Pembentukan Karakter merupakan satu anjakan strategik bagi memperkukuh nilai murni dan pembangunan sahsiah murid secara berstruktur dan menyeluruh,” jelas KPM dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu akan dilaksanakan di semua peringkat persekolahan. Bagi prasekolah, pelaksanaannya dibuat secara bersepadu melalui aktiviti pembelajaran harian. Manakala bagi sekolah rendah dan menengah, waktu khas selama satu jam seminggu akan dimasukkan ke dalam jadual rasmi persekolahan untuk membolehkan aktiviti sahsiah dijalankan secara terancang dan berfokus.

Menurut KPM, pengajaran dan pembelajaran dalam program ini akan memberi penekanan kepada penghayatan nilai, pembentukan tingkah laku positif, serta penerapan adab dan akhlak dalam kehidupan seharian murid.

Langkah ini, kata kementerian itu, mencerminkan komitmen berterusan KPM untuk membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga memiliki karakter yang kuat dan berakhlak mulia.

“KPM beriltizam melahirkan generasi holistik yang mampu berfikir secara kritikal, beradab dalam tindakan, dan berperanan membina masyarakat berintegriti,” tambah kenyataan itu.

Program Pembentukan Karakter menjadi sebahagian daripada komponen utama dalam transformasi pendidikan nasional yang akan dilancarkan secara rasmi apabila Kurikulum Persekolahan 2027 diperkenalkan kelak. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share