
KUALA LUMPUR, 6 NOV 25— Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap agensi berita antarabangsa Bloomberg susulan keputusan Peguam Negara mengklasifikasikan siasatan terhadap laporan media itu sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Menurutnya, keputusan tersebut menimbulkan persoalan sama ada dakwaan Bloomberg tahun lalu yang menuduh Perdana Menteri campur tangan dalam urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai asas atau sebaliknya.
“Sewaktu isu ini tercetus tahun lepas, saya sendiri telah bangkitkan dalam Dewan Rakyat ketika sesi PMQT bersama Perdana Menteri. PMX dengan penuh tegas menafikan tuduhan Bloomberg dan menyatakan siasatan sedang dijalankan oleh PDRM, manakala tindakan lanjut diserahkan kepada Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Fadhli berkata, keputusan NFA itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan Bloomberg terlepas daripada tanggungjawab terhadap laporan yang disifatkannya sebagai fitnah jahat.
“Apabila hari ini kes ini menjadi NFA, adakah ia membuktikan tuduhan Bloomberg itu benar? Sepatutnya kerajaan wajib ambil tindakan terhadap laporan palsu ini. Mana mungkin PMX sanggup campur tangan dalam urusan SPRM,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar pejabat Bloomberg di Kuala Lumpur disita sebagai langkah tegas terhadap penyebaran berita yang boleh mencemar nama baik Perdana Menteri dan institusi negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.