PN Gesa MAT Laksana Penyelarasan Pencen Veteran Sebelum 2013

KUALA LUMPUR, 4 Nov 25 — Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor, menegaskan Majlis Angkatan Tentera (MAT) perlu segera melaksanakan penyelarasan pencen bagi veteran yang bersara sebelum 1 Januari 2013 seperti yang termaktub dalam undang-undang sedia ada.

Menurut beliau, perkara itu telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 187, Akta Angkatan Tentera 1972, yang menyatakan setiap kali berlaku penyelarasan atau kenaikan gaji, penyelarasan pencen mesti turut dilaksanakan.

“Bila berlaku sahaja penyelarasan gaji, mesti dibuat penyelarasan pencen. Tetapi setakat ini Majlis Angkatan Tentera tak buat apa-apa. Bayar tak bayar tak apa, tapi bincanglah dulu,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat, semalam.

Khlir turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa tidak membincangkan isu itu, meskipun berlaku kenaikan gaji pada tahun 2013 semasa beliau masih berkhidmat dalam perkhidmatan tentera.

“Menteri kata tiada kenaikan gaji, tapi saya masih dalam servis masa itu dan memang ada kenaikan. Jadi kenapa tak dibuat penyelarasan pencen?” soalnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kuasa Majlis Angkatan Tentera dalam hal ini adalah kuasa yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan tidak seharusnya menunggu keputusan mahkamah untuk bertindak.

“Kuasa MAT ini kuasa yang diberi oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong — melangkaui kuasa mahkamah. Jadi buatlah dulu,” tegasnya.

Khlir menzahirkan rasa kecewa kerana perkara itu tidak pernah dibawa untuk dibincangkan secara rasmi di peringkat majlis berkenaan, walaupun sudah berulang kali beliau bangkitkan isu tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share