
KUALA LUMPUR | 19 Feb 26 – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menubuhkan segera satu Jawatankuasa Khas Siasatan bertaraf Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) susulan laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu perjanjian mega dianggarkan bernilai RM1.1 bilion melibatkan kerajaan pusat dan sebuah syarikat asing.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya terkejut dan bimbang dengan pendedahan tersebut, lebih-lebih lagi apabila terdapat maklumat daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu turut melibatkan seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa.
Menurut beliau, skala kewangan yang besar serta implikasi terhadap integriti pentadbiran negara menuntut tindakan segera dan bebas daripada campur tangan politik.
“Kerajaan perlu menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Siasatan yang diketuai oleh bekas hakim mahkamah atasan bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas dan berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, langkah tegas itu penting sekiranya kerajaan benar-benar komited memerangi rasuah dan salah laku sehingga ke akar umbi.
PN turut menegaskan kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berlindung di sebalik prosedur serta retorik semata-mata, kerana rakyat berhak mengetahui fakta sebenar di sebalik perjanjian bernilai RM1.1 bilion itu.
“Angka RM1.1 bilion bukan kecil. Ia melibatkan dana awam dan menyentuh kepercayaan rakyat terhadap integriti sistem pentadbiran negara,” tegasnya.
Menurut beliau lagi, kegagalan bertindak secara tegas dan telus hanya akan menguatkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk melindungi pihak tertentu.
Sehubungan itu, PN memberi jaminan akan terus memantau perkembangan siasatan berkenaan secara dekat bagi memastikan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti terus dipertahankan tanpa kompromi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.