
DUNGUN | 12 Jun 26 – ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin mendakwa hubungan PAS dan BERSATU sebelum ini berdepan pelbagai masalah apabila pandangan serta cadangan yang dikemukakan PAS tidak diberi perhatian oleh rakan sekutunya itu.
Menurut beliau, banyak perancangan yang dirangka bersama gagal dilaksanakan kerana wujud sikap enggan menerima pandangan pihak lain.
“Dalam banyak perkara yang kita rancang, ia tidak boleh berjalan. Nasihat kita tidak mahu ikut. Nak suruh dengar nasihat dia sahaja, nak suruh dengar kata-kata dia sahaja,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook.
Beliau turut membangkitkan isu pendirian BERSATU yang didakwanya menolak sebarang usaha PAS untuk meneroka kerjasama politik dengan UMNO.
Menurutnya, sikap tersebut menyukarkan PAS untuk menilai semua pilihan politik yang boleh mengukuhkan kedudukan orang Melayu dan Islam.
“Masalah terbesar ialah bila ada pihak yang meletakkan syarat ‘no UMNO, no BERSATU’. Sedangkan kita perlu mengkaji semua ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada Melayu Islam,” katanya.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata keputusan PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU perlu dilihat sebagai peluang membuka lembaran baharu dalam kerjasama politik Melayu.
Beliau menyifatkan perpisahan itu sebagai titik permulaan kepada pembentukan gabungan baharu yang lebih terbuka dan tidak terikat dengan kepentingan mana-mana pihak.
“Apabila putusnya hubungan ini, ia menjadi permulaan kepada titik kerjasama baharu antara parti-parti Melayu yang ada,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika hubungan PAS dan BERSATU terus tegang susulan keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan parti berkenaan selepas lebih lima tahun bersama dalam Perikatan Nasional. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.