
KUALA LUMPUR 19 NOV 25 – Perikatan Nasional (PN) menegaskan komitmennya untuk memastikan kestabilan politik di Sabah, sekali gus menjamin pentadbiran negeri yang lebih mantap dan berdaya tahan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Timbalan Presiden PAS merangkap Pimpinan Tertinggi PN Pusat, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, landskap politik Sabah yang menyaksikan banyak parti baharu muncul setiap kali PRN berlangsung, telah menyebabkan pertandingan banyak penjuru di hampir setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut beliau, fenomena berkenaan membawa kepada perpecahan undi yang ketara sehingga kemenangan sesuatu parti tidak semestinya mencerminkan kehendak majoriti rakyat.
“Dalam suasana tanpa parti dominan, kerajaan yang dibentuk sering kali berdepan risiko ketidakstabilan sehingga mencetuskan amalan lompat parti serta pembelian sokongan wakil rakyat selepas pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, di Facebook.
Malah, Akta Anti Lompat Parti yang diwujudkan di peringkat Persekutuan, kata Tuan Ibrahim masih belum mencapai keberkesanan sepenuhnya, seperti yang dapat dilihat dalam kes melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika jurang kerusi terlalu kecil di Sabah, perkara sama boleh berulang. Ini bukan retorik, tetapi pengalaman daripada beberapa siri PRN sebelum ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, PN katanya menampilkan calon-calon yang disifatkan bersih dan berintegriti serta bersedia meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik, dipimpin oleh Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Timbalannya, Datuk Dr. Ali Akbar.
Beliau turut berpandangan perbincangan pembentukan gabungan lebih awal akan menguntungkan rakyat dan mengurangkan ketegangan politik, namun mengakui keyakinan setiap parti terhadap kekuatan masing-masing sering menyukarkan usaha penyatuan sebelum PRN.
Dalam pada itu, isu tuntutan 40% hasil Sabah terus menjadi fokus utama parti-parti yang bertanding.
PN kata Tuan Ibrahim turut menyokong pelaksanaannya selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Tetapi soal pulangan hasil bukan sekadar angka. Lebih penting ialah siapa mengurus dan bagaimana ia diurus. Tiada gunanya pendapatan besar jika ia dipegang oleh mereka yang terpalit rasuah atau salah urus,” katanya.
Tegasnya, hanya kerajaan yang stabil dan berprinsip dapat memastikan manfaat hasil negeri benar-benar dinikmati rakyat Sabah, bukan segelintir pihak.
“Sabah berhak mendapat kerajaan yang kukuh, makmur dan bertanggungjawab. PN bersedia memikul amanah tersebut,” katanya sambil menyeru rakyat turun mengundi dengan bijak. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.