
KUALA LUMPUR, 23 Mei 25 – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan Himpunan Melayu Berdaulat adalah demokratik dan ia suatu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusinya, Datuk Zainul Rijal bin Haji Abu Bakar berkata, beliau percaya bahawa perhimpunan tersebut adalah sah dan demokratik yang mana hak tersebut dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ia bukan bertujuan menimbulkan kebencian kepada mana-mana golongan kerana hak yang dituntut dan dibela adalah berdasarkan undang-undang tertinggi negara.
“Pembela menyeru kepada semua pihak yang berhimpun agar mengekalkan keamanan, menjaga akhlak serta mengutamakan adab dan ketertiban sepanjang himpunan tersebut.
“Marilah kita menunjukkan contoh terbaik kepada dunia bahawa rakyat Malaysia khususnya umat Melayu Islam, mampu berhimpun secara aman dan penuh hikmah demi masa depan negara. Katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sekalipun ada kehadiran orang politik dari pihak kerajaan atau pembangkang, perhimpunan tersebut bukan bersifat pro-politik kepartian kerana menurutnya, isu-isu berkaitan Melayu dan Islam melangkaui sempadan politik kepartian.
“Ia adalah isu kenegaraan, kesejahteraan rakyat dan kelangsungan jati diri bangsa.
“Sudah sampai masanya NGO Islam menggarap prinsip keadilan dan kesaksamaan mengatasi kepentingan politik, demi menjaga agama, bangsa dan negara. Ujarnya.
Menjelas lanjut, Zainul Rijal turut menekankan bahawa orang Melayu Islam mempunyai hak, keistimewaan, maruah dan kehendak yang dibenarkan oleh undang-undang disamping tidak mendiskriminasikan kaum minoriti.
“Hak keistimewaan, maruah dan kehendak ini perlu dihormati oleh mana-mana orang, badan atau organisasi yang memegang tampuk pemerintahan.
Dalam satu kenyataan yang sama, Pembela turut menyokong perhimpunan tersebut yang akan diadakan pada Sabtu 24 Mei ini. @politiko.my