
KUALA LUMPUR | 28 Feb 26 – Mantan Menteri United Kingdom, Sayeeda Warsi, mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Hamzah Zainudin, dalam satu pertemuan yang berlangsung baru-baru ini.
Pertemuan tersebut turut disertai beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Awang Hashim (Pendang) serta Mumtaz Md Nawi (Tumpat).
Baroness Warsi dikenali sebagai wanita Muslim pertama yang dilantik ke Kabinet United Kingdom dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Negara di bawah Jabatan Luar dan Komanwel serta Jabatan Komuniti dan Kerajaan Tempatan. Beliau juga pernah memegang jawatan Pengerusi Parti Konservatif Britain.
Menurut kenyataan YB Dr Yadzil Yaakob, kunjungan tersebut membuka ruang perbincangan matang dan konstruktif melibatkan pengalaman politik di Malaysia dan UK, cabaran kepimpinan semasa, peranan pembangkang dalam sistem demokrasi serta pengurusan masyarakat majmuk di kedua-dua negara.
“Pertemuan ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu langkah positif dalam mengeratkan hubungan dan jaringan antarabangsa, khususnya dalam perkongsian perspektif berkaitan tadbir urus, keharmonian masyarakat dan masa depan politik yang lebih inklusif. Katanya.
Tambah Yadzil, dialog tersebut turut mencerminkan kepentingan hubungan dua hala Malaysia–United Kingdom yang terus diperkasa melalui dialog dan perkongsian pengalaman kepimpinan antara kedua-dua negara. @poitiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.