Presiden Bersatu Jadi Diktator, Bebas Pecat Siapa Saja, Kata Ainina

KUALA LUMPUR, 25 Okt 25 – Hanya memasuki usia 9 tahun tetapi Bersatu berhadapan krisis yang mana Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dilabel sebagai diktator atas tindakan diambil terhadap pimpinan parti baru-baru ini, kata pengasas bersama parti itu, Anina Saadudin.

Dalam hantaran media sosial, Anina mendakwa penguasaan mutlak Muhyiddin boleh dikawal sekiranya Bersatu mengekalkan jawatan pengerusi seperti peringkat awal penubuhannya yang melantik Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan itu.

“Hanya sembilan tahun usia Bersatu kini presiden bebas memecat, menggantung sesiapa sahaja seperti diktator,” kata Anina.

Jawatan pengerusi dikeluarkan daripada parti susulan pindaan Perlembagaan Bersatu selepas kejatuhan Dr Mahathir pada 2020.

Menurutnya, asalnya jawatan pengerusi diwujudkan khusus untuk mengimbangi kuasa presiden agar tidak berlaku penyalahgunaan kuasa pada masa depan.

“Kita perlu wujudkan jawatan pengerusi parti bagi mengimbangi kuasa presiden. Kita tidak mahu 10 tahun atau 100 tahun akan datang, presiden Bersatu menjadi diktator yang merosakkan parti dan negara,” katanya.

14 Okt lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk memecat keahlian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk Wan Saiful Wan Jan susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.

Manakala bekas Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share