PRN Sabah: Zara Qairina, Skandal, MA63 Dijangka Warnai PRN Sabah – Dr. Mazlan Ali

KUALA LUMPUR, 12 NOV 25 — Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mazlan Ali menjangka Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini bakal menyaksikan suhu politik yang luar biasa panas dengan beberapa isu besar dijangka menjadi pemacu utama sentimen pengundi.

Menurut beliau, tragedi kematian pelajar Zara Qairina yang mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan akan memberi kelebihan kepada blok pembangkang, khususnya Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu dan PAS.

“Semasa kes itu berlangsung, ketidakpuasan rakyat sangat ketara apabila di Sabah sendiri ada demonstrasi besar-besaran. Malah, sentimen itu merebak ke luar negeri, bahkan ke luar negara,” katanya.

“Sudah tentu pihak yang mendapat advantage daripada isu ini ialah pembangkang kerana tragedi itu berlaku ketika kerajaan Madani memerintah,” tambahnya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan kemudian cuba menjernihkan keadaan dengan penjelasan dan tindakan lanjut, keberkesanan langkah itu bergantung kepada sejauh mana PN mampu mengekalkan momentum sentimen simpati terhadap mangsa dan kemarahan terhadap kerajaan.

Isu Korupsi dan Hubungan Politik-Ahli Perniagaan

Mazlan turut mengulas laporan berhubung dakwaan rasuah beberapa wakil rakyat Sabah serta hubungan antara seorang ahli perniagaan dengan parti politik tertentu, yang katanya berpotensi menggugat persepsi awam terhadap kerajaan.

“Walaupun ia sekadar tuduhan, dalam politik ia soal sentimen. Seorang pemimpin kerajaan sendiri pernah mengkritik Perdana Menteri supaya menangani isu ini kerana individu terbabit dikaitkan dengan parti yang sama,” jelasnya.

Beliau berpendapat, sekiranya pembangkang berjaya memanfaatkan persepsi ini, isu integriti akan menjadi antara faktor pengundi menolak calon kerajaan.

Isu 40% Hasil Negeri dan MA63

Selain itu, Mazlan menjangkakan isu tuntutan 40% hasil negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus dimainkan oleh parti-parti tempatan, terutama UPKO, yang kini tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH).

Namun, katanya, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa Sabah sebenarnya menerima RM17 bilion daripada kerajaan Persekutuan berbanding hanya RM10 bilion hasil kutipan sendiri menunjukkan pendekatan yang lebih fleksibel.

“Maksud tersirat jawapan Perdana Menteri ialah ini bukan soal peratusan, tapi soal keperluan. Sabah perlu dibantu. Jadi kenyataan itu secara tidak langsung mengendurkan isu 40% ini,” katanya sambil menambah bahawa keputusan kerajaan untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sabah menunjukkan pendekatan damai.

Beliau berpandangan bahawa usaha parti-parti tempatan memainkan isu MA63 mungkin akan memakan diri, terutamanya bagi UPKO yang bertindak keluar daripada gabungan kerajaan.

Pertembungan Sengit dan Minat Tinggi Pengundi

Prof Mazlan turut menjangkakan kadar keluar mengundi yang tinggi berikutan minat luar biasa terhadap politik Sabah, dengan pelbagai parti dan calon bebas menunjukkan kesediaan untuk bertanding.

“Kita lihat BN mengumumkan akan bertanding 41 kerusi, mungkin bertembung dengan GRS dan Warisan. Ini menunjukkan landskap politik Sabah sangat dinamik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa gabungan pelbagai isu panas, termasuk tragedi Zara Qairina, dakwaan korupsi dan tuntutan hasil negeri, akan menjadikan PRN Sabah kali ini antara yang paling mencabar dan penuh kejutan dalam sejarah politik negeri itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share