
KUALA LUMPUR, 30 OKT 25 — Semua perkara, aktiviti, program dan projek yang dianjur atau diuruskan oleh kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam setiap urusan rasmi.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ketetapan itu selaras dengan komitmen kerajaan bagi memperkasa serta memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi perkhidmatan awam.
Perkara itu dinyatakan menerusi Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 29 Okt dan ditandatangani oleh Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz.
Menurut surat berkenaan, arahan itu juga selaras dengan surat JPA bertarikh 9 Ogos 2022, yang menjelaskan keperluan memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan.
Sehubungan itu, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), di bawah Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam, turut diperkenalkan bagi memastikan pelaksanaannya lebih menyeluruh.
“Bahasa Melayu hendaklah diberi keutamaan dan digunakan sepenuhnya dalam semua aspek termasuk nama, tema, tajuk, latar belakang, isi kandungan serta apa-apa maklumat berkaitan urusan rasmi perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.
JPA pada masa sama turut mengingatkan pelaksanaan dasar ini perlu dibuat dengan teliti agar tidak menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan kerajaan dan tidak memberi sebarang implikasi perundangan.
“Perhatian serius hendaklah diberikan, khususnya bagi perkara yang melibatkan kepentingan awam dan negara,” katanya.
Arahan itu menegaskan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama urusan rasmi, pentadbiran dan komunikasi rasmi kerajaan di semua peringkat perkhidmatan awam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.