
KUALA LUMPUR, 5 Ogos 25 – Perikatan Nasional (PN) mempunyai kepimpinan yang berpengalaman untuk menggerakkan gagasan Konsensus Nasional Baharu, kata Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ketua pembangkang berkata, gagasan yang dicadangkan itu mempunyai matlamat bersama bagi menggerakkan pembinaan negara bangsa melangkaui partisan dengan menolak era politik kelangsungan diri, menolak politik dendam.
“Saya menyeru kepada semua pihak untuk berpegang kepada tiga batu asas iaitu matlamat bersama (common goal), perkongsian kemakmuran (shared prosperity) dan keprihatinan tadbir urus (compassionate governance),” katanya, ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, gagasan itu turut menggalakkan perkongsian kemakmuran untuk memastikan hasil kekayaan negara dikongsi bersama, matlamat pembangunan negara perlu didefinisikan semula.
Selain itu, timbalan presiden Bersatu menegaskan, ia turut mempunyai asas keprihatinan tadbir urus dengan berteraskan nilai keprihatinan dan kemanusiaan dengan mengiktiraf rakyat sebagai rakan usaha sama, dan bukannnya sebagai beban atau masalah.
“Tidak ada mana-mana kaum yang akan merasa diri mereka terpisah kerana ini adalah rancangan yang kita nak lakukan untuk semua rakyat Malaysia – inklusif.
“Soalnya apakah PN mampu? Saya tegaskan kami mampu, kami mempunyai barisan kepimpinan yang ‘enough flying hours’ untuk memandu Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi yang nikmat kemakmurannya dapat dikongsikan bersama,” tegas Hamzah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.