PUTRA Desak Pampasan Kes Amri Che Amat Disemak Semula, Tuntut Nilai Sama Rata

KUALA LUMPUR, 11 NOV 25 — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak kerajaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mengambil tindakan segera menyemak semula jumlah pampasan kepada keluarga aktivis sosial Amri Che Amat, agar diseragamkan dengan pampasan yang diberikan kepada keluarga Pastor Raymond Koh.

Presiden PUTRA, Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali, menegaskan bahawa prinsip keadilan menuntut nilai nyawa setiap rakyat Malaysia dinilai secara sama rata tanpa mengira agama, latar belakang atau status sosial.

“Nyawa rakyat tidak boleh ditimbang dengan harga yang berbeza. Jika negara bertanggungjawab dalam kedua-dua kes kehilangan paksa ini, maka nilai pampasan juga mesti bergerak atas prinsip yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Ibrahim, Mahkamah telah mengesahkan bahawa pihak keselamatan negara gagal melindungi kedua-dua mangsa Amri Che Amat dan Pastor Raymond Koh menjadikan keputusan pampasan yang jauh berbeza sebagai satu bentuk ketidakadilan yang mencarik maruah keadilan.

Beliau mempersoalkan mengapa keluarga Amri hanya menerima pampasan sekitar RM3.26 juta, sedangkan keluarga Raymond Koh menerima lebih RM37 juta berserta bayaran harian berterusan.

“Soalnya bukan sekadar angka. Yang sedang dipersoalkan ialah apa maksud ‘adil’ dalam negara ini? Nyawa tidak ada kelas, maruah tidak ada kasta, dan keadilan tidak ada agama,” tegasnya.

PUTRA turut menuntut tiga tindakan konkrit daripada pihak berkuasa:

AGC memfailkan rayuan agar jumlah pampasan kepada keluarga Amri disemak semula dan disamakan dengan kadar pampasan keluarga Raymond Koh.

Kabinet menyatakan pendirian rasmi berhubung prinsip kesaksamaan dalam kes kehilangan paksa ini.

Sistem keadilan diperbetulkan agar bebas daripada tafsiran selektif dan tidak menimbulkan persepsi undang-undang hanya adil kepada golongan tertentu.

Dr Ibrahim turut memberi amaran bahawa membiarkan jurang pampasan ini tanpa tindakan akan menghantar mesej berbahaya kepada rakyat.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat, dan diperintahkan membayar pampasan keseluruhan melebihi RM40 juta kepada keluarga mangsa.

Dalam keputusan penting itu, Hakim Su Tiang Joo mendapati terdapat penglibatan satu atau lebih pegawai polis sama ada masih berkhidmat atau telah bersara dalam penculikan kedua-dua individu tersebut, dan tindakan itu dipercayai dilakukan “mengikut satu arahan tertentu”. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share