
KUALA LUMPUR, 27 Jun 25 – Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan kewajaran draf Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal ‘dirombak semula’ pada saat-saat akhir sedangkan perkara itu tidak pernah dibangkitkan ketika beliau menjawat jawatan menteri ekonomi
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, beliau khuatir langkah itu dilakukan hanya semata-mata ciapan balas kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai RMK13 sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Dakwanya, terdapat pengguna media sosial membincangkan berkenaan RMK13 dan membalas ulasan Fahmi yang didakwa cuba memadamkan terus penglibatannya dalam penyediaan dokumen terbabit.
“Kenyataan untuk ‘merombak semula dan mengolah’ RMK13 sudah tentu mengundang kebimbangan (di kalangan penjawat awam, penganalisis pasaran yang memantau dasar negara dan rakyat keseluruhannya).
“Adakah ini bermakna rombakan semula ini akan dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada masa untuk merujuk semula kepada Inter Agency Planning Group (IAPG), Technical Working Group TWG dan pakar-pakar?
“Kenapa isu ‘merombak semula draf RMK13’ ini timbul di saat akhir. RMK13 adalah dokumen penting untuk negara yang dibangunkan oleh ribuan rakyat dari segenap lapisan masyarakat,” soal Rafizi, dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Pandan berkata, mengheret RMK13 menjadi polemik politik akan melunturkan keyakinan rakyat kepada dokumen yang menjadi dasar kerajaan itu.
Katanya, langkah itu adalah ketidakadilan besar kepada mereka yang bertungkus lumus bekerja berbelas jam sehari sejak setahun lepas.
“RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan biasa, tetapi dasar lima tahun negara yang menjadi rujukan utama merentas pentadbiran kerajaan, kecuali dipinda melalui Parlimen.
“Penyediaan RMK13 dibuat melalui proses ‘bottom-up’ dan ‘top-down’ yang melibatkan input pelbagai pihak,” tegas Rafizi.
Sementara itu, wakil rakyat Perikatan Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menganggap tindakan itu merosakkan negara.
“Hancur negara bawah Madani,” kata ahli Parlimen Machang, ringkas, sambil mengepilkan kenyataan media Rafizi berhubung isu rombakan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.