
KUALA LUMPUR, 4 Nov 25 – Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, menyifatkan Perjanjian Timbal Balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai “sangat berat sebelah” serta berpotensi menjejaskan kedaulatan negara.
Menurut Rafizi, setelah meneliti perjanjian itu secara terperinci, beliau mendapati tiada sebarang klausa khusus yang melindungi hak kedaulatan Malaysia, malah beberapa peruntukan dikhuatiri boleh mengikat tindakan kerajaan dalam hal dasar luar dan ekonomi.
“Tidak ada pun rujukan jelas tentang kedaulatan negara. Contohnya Artikel 5.1 – jika AS mengambil tindakan terhadap mana-mana negara, Malaysia juga wajib mengambil tindakan yang sama,” katanya dalam satu rakaman video.
Rafizi turut membandingkan perjanjian Malaysia dengan negara lain seperti Kemboja dan Thailand, yang menurutnya lebih berhati-hati dengan memasukkan klausa perlindungan agar ia tidak bertentangan dengan perlembagaan masing-masing.
“Kemboja pun kaveat dengan jelas – tiada tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan mereka. Malaysia tak ada,” ujarnya.
Beliau juga mempersoalkan beberapa peruntukan lain, termasuk yang memberi ruang kepada AS untuk menentukan pelaburan luar yang dianggap selaras dengan kepentingan keselamatan dan ekonomi mereka.
“Does that mean that lepas ni FDI nak masuk ni kita kena follow US kata Huawei saya tak suka, yang ini Chinese company saya tak nak bagi, soal beliau.
Rafizi turut menzahirkan kekecewaan terhadap jawapan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Parlimen yang dianggap terlalu ringkas dan tidak menjawab kebimbangan substantif.
“Jawapan dia, jangan marah penjawat awam. Jawapan dia, benda ni kita tertekan sebab kita kena runding, kita kesuntukan masa, ini dah cukup baik. That’s not good enough for us”, kata Rafizi.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata kerajaan seharusnya lebih telus dan berani menjelaskan kepada rakyat, terutama mengenai klausa keluar (exit clause) yang menurutnya tidak memberikan sebarang manfaat sebenar kepada Malaysia.
Malah, beliau menegaskan bahawa banyak analisis antarabangsa, termasuk laporan Bloomberg, turut menyifatkan perjanjian tersebut sebagai tidak seimbang dan memihak kepada Amerika Syarikat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.