Rafizi Zahir Kebimbangan, Anwar Bidas Gesaan Lanjut Khidmat Ketua Hakim

KUALA LUMPUR, 30 Jun 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memecah kebisuan berhubung gesaan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang agar tempoh perjawatan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilanjutkan selepas beliau bersara Rabu depan.

Anwar menegaskan, sekiranya gesaan itu dituruti, ia secara langsung menunjukkan wujudnya campur tangan politik dalam pelantikan institusi kehakiman.

“Tentang penjawat awam, atau hakim, mana-mana pegawai yang tiba tempoh persaraan dia, dia ada prosedur dia. Tempoh persaraan, tidak automatik bila bersara, tidak automatik sambung.

“Dalam keadaan ini, saya ditegur, makna ada satu kempen, mesti sambung orang ini, jangan sambung orang ini.

Ini bermakna jadi institusi yang sepatutnya berintegriti dan bebas itu dipolitikkan. Bila jadi wacana umum politik, makna kalau tak sambung, kumpulan ini setuju, kalau sambung kumpulan ini setuju, jadi tak wajar lagi,” kata Anwar semasa perhimpunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini

Beliau sehubungan itu menolak budaya melobi demikian, kerana jika itu berlaku ia akan menjejaskan jawatan tertinggi dalam kerajaan.

Antara yang bersuara termasuk bekas timbalan presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli yang berpandangan sekiranya perjawatan Tengku Maimun tidak disambung enam bulan seperti dibenarkan Perlembagaan ia akan menambah kebimbangan kebebasan badan kehakiman mungkin terjejas.

Bekas menteri ekonomi itu turut menggesa PKR dan Pakatan Harapan untuk menegakkan cita-cita mereka dalam mempertahankan kebebasan kehakiman atau berisiko mendapat kecaman orang ramai.

“Adalah sangat malang sekiranya satu hari nanti, PKR dan Pakatan Harapan dituduh melemahkan kebebasan institusi kehakiman, lalu mewujudkan satu kumpulan anak muda baru yang bertekad melawan PKR dan Pakatan Harapan,” katabekas menteri ekonomi itu.

Selain Ketua Hakim Negara, enam lagi hakim kanan juga akan bersara dalam tempoh enam bulan akan datang – mengosongkan empat jawatan penting dalam badan kehakiman, termasuk jawatan presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya serta Sabah dan Sarawak. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share