
KUALA LUMPUR, 28 APR 25 – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir pengumuman kerajaan kononnya negara menerima berbilion ringgit hasil pelaburan langsung asing (FDI) sejak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun tiada sebarang bukti yang ditunjukkan.
Dalam hantaran di media sosial miliknya, Dr Mahathir turut berkata, berkemungkinan silapnya sendiri sehingga tidak dapat melihat hasil daripada pelaburan berkenaan.
“Anwar mengumumkan pelaburan asing akan meningkat saban tahun, matlamatnya untuk mencapai RM636 bilion dan menjadi antara 30 kuasa besar ekonomi dunia.
“Bagi mencapai tujuan itu sudah tentu banyak tanah akan digunakan untuk dibangunkan kilang-kilang…mungkin ada, jika saya tidak melihatnya mungkin itu salah saya,” kata Dr Mahathir.
Beliau turut memberikan beberapa pengumuman kerajaan berkenaan pelaburan asing ke dalam negara beserta jumlah pelaburan mereka.
“Ada laporan yang mengatakan jumlah keseluruhan pelaburan dicapai oleh perdana menteri adalah RM216.04 bilion. Amerika Syarikat menyumbang RM63.02 bilion..perjanjian persefahaman (MoU) dengan China RM170 bilion, ditambah lagi oleh Jepun berjumlah RM6.56 bilion,” kata Dr Mahathir lagi.
Sebelum ini, Anwar pernah menggembar-gemburkan pelaburan Tesla ke Malaysia, namun ia menjadi sindiran pelbagai pihak apabila Tesla membatalkan hasrat tersebut. @politiko.my