
KUALA LUMPUR | 11 Jun 2026 – Peguam Mohamed Rafique Rashid Ali menggesa rakyat Malaysia melihat isu permohonan suaka oleh Yusoff Rawther dari sudut yang lebih besar, iaitu persoalan keselamatan dan keyakinan terhadap institusi negara, bukannya sekadar menganggap tindakan itu sebagai usaha melarikan diri daripada proses perundangan.
Menurut Rafique, Yusoff yang kini berada di London telah memohon perlindungan suaka hak asasi manusia di United Kingdom kerana mendakwa bimbang terhadap keselamatan dirinya selepas melalui pelbagai pengalaman yang disifatkannya sebagai menakutkan.
Beliau menegaskan bahawa Yusoff tidak pernah cuba mengelakkan proses mahkamah, malah tetap mahu rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya diteruskan pada 15 Jun ini.
“Yusoff bukan melarikan diri. Dia tidak memohon rayuan ditangguhkan atau dibatalkan. Arahan yang diberikan kepada saya jelas, hadir ke mahkamah dan terus mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Rafique berkata, persoalan yang lebih penting ialah mengapa seorang rakyat Malaysia merasakan dirinya tidak lagi selamat untuk berada di negara sendiri sehingga terpaksa mendapatkan perlindungan di luar negara.
Beliau turut mempersoalkan status beberapa laporan polis yang pernah dibuat oleh Yusoff, termasuk dakwaan bahawa dirinya menjadi mangsa perangkap, namun sehingga kini menurutnya masih belum mendapat penjelasan yang memuaskan daripada pihak berkuasa.
“Rakyat berhak mengetahui apa status laporan-laporan polis tersebut, sama ada siasatan telah dijalankan dan apakah hasilnya,” katanya.
Dalam masa sama, Rafique menggesa Polis Diraja Malaysia memberikan penjelasan berhubung perkembangan siasatan yang dikaitkan dengan aduan anak guamnya, sambil menegaskan bahawa isu berkenaan melibatkan kepentingan awam dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Beliau juga mengingatkan bahawa ketakutan yang diluahkan oleh seseorang tidak seharusnya dipandang ringan atau diperlekehkan.
“Negara yang matang tidak akan mentertawakan individu yang mendakwa dirinya takut akan keselamatannya. Negara yang matang akan menyiasat, menjawab dan memberikan keyakinan kepada rakyat,” katanya.
Menurut Rafique, beberapa kes kehilangan individu dan kematian yang masih menjadi tanda tanya dalam negara turut menyumbang kepada kebimbangan yang dirasai oleh sebahagian rakyat terhadap aspek keselamatan dan perlindungan undang-undang.
Katanya, sehingga kini Yusoff tetap memberikan arahan supaya rayuan diteruskan walaupun berada di United Kingdom, sekali gus menunjukkan beliau bersedia berdepan proses kehakiman dan mahu keputusan muktamad dicapai melalui saluran mahkamah.
Perkembangan itu dijangka terus menjadi perhatian menjelang pendengaran rayuan pada 15 Jun ini, yang berpotensi menjadi satu lagi episod penting dalam kes berprofil tinggi yang telah mengundang perdebatan luas dalam kalangan masyarakat dan pemerhati politik. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.