
KUALA LUMPUR, 13 NOV 25 – Permohonan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang menolak hak miliknya ke atas sebidang tanah seluas 263.272 ekar di Duta Enclave telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia tanpa kos.
Syarikat itu gagal melepasi ambang sokongan yang ditetapkan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Hashim, menyatakan bahawa 26 persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan “tidak menimbulkan sebarang persoalan kepentingan Perlembagaan” dan lebih berpusat kepada fakta semata-mata.
Keputusan ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia yang pada 24 Jun 2025 menolak rayuan Semantan Estate agar hak milik tanah itu dipindah milik kepadanya, sebaliknya membenarkan pihak kerajaan membayar pampasan yang akan ditaksirkan berdasarkan nilai tanah pada tarikh pengambilan (3 Disember 1956).
Hakim Hasnah menetapkan 17 November sebagai tarikh pengurusan kes bagi prosiding taksiran pampasan terhadap syarikat itu di hadapan Mahkamah Tinggi.
Tanah yang menjadi pertikaian tersebut terletak di kawasan strategik Jalan Duta di Kuala Lumpur dan menempatkan beberapa bangunan kerajaan penting termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara Malaysia, serta kompleks institusi penguatkuasaan dan tatatertib kerajaan.
Keputusan ni memberi mesej jelas bahawa tuntutan pemilikan berasaskan hak sejarah atau kontrak lama tidak boleh mengatasi hak mutlak kerajaan ke atas tanah yang telah diambil secara sah di bawah undang-undang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.