RCI TH: Jangan Hukum Sebelum Bukti Berbicara

“Dalam urusan amanah, angka mesti dibaca dengan ilmu, tuduhan mesti disokong bukti, dan keadilan tidak boleh ditentukan oleh siapa yang paling kuat menjerit.”

Ada satu tabiat lama dalam politik kita, apabila sesuatu isu terlalu rumit untuk diterangkan, kita cari satu perkataan yang paling mudah diulang.

‘Impairment’? Sungguh rumit. Penilaian aset? Lagi rumit. Piawaian perakaunan? Terlalu rumit.

Lalu muncul satu perkataan yang lebih mudah difahami dan lebih mudah menjadi tajuk: “sakau”.

Ambil Mudah Ikut Suka Masalah Bermula

“Sakau” bukan istilah audit. Bukan istilah perakaunan. Dan paling penting, bukan keputusan mahkamah.

Dalam polemik Tabung Haji yang kembali hangat selepas penjelasan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berkaitan Musyawarah Nasional 2.0 serta dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), masyarakat perlu berhati-hati membezakan antara kerugian perakaunan, rosot nilai, kelemahan tadbir urus, kesilapan profesional, penyelewengan dan jenayah.

Semuanya bukan benda yang sama. Kalau semuanya dicampur ke dalam satu mangkuk, kita bukan sedang mencari kebenaran. Kita sedang memasak sup persepsi.

Audit Bukan Mahkamah

Antara perkara paling penting ialah memahami bahawa laporan audit, semakan kewangan dan RCI mempunyai fungsi, mandat serta kaedah yang berbeza.

Menurut penjelasan Madinah yang dilaporkan media, Jabatan Audit Negara melaksanakan audit berkanun berdasarkan mandat undang-undang dan piawaian audit yang terpakai ketika itu. PwC pula menjalankan Financial Position Review dengan skop dan terma rujukan tersendiri.

Perbezaan metodologi boleh menghasilkan perbezaan penilaian, termasuk berkaitan ‘impairment’ atau rosot nilai dan penilaian pelaburan.

RCI yang diterbitkan pada 29 Julai 2026 pula membuat dapatan bahawa Tabung Haji sepatutnya merekodkan kerugian bersih kira-kira RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion, sekiranya piawaian MFRS digunakan sepenuhnya.

Itu ialah dapatan serius. Tetapi kita mesti membezakan dua ayat:

● Pertama, “Penyata kewangan mempunyai isu yang perlu diperbetulkan.”

● Kedua, “Seseorang telah menyakau wang.”

Konklusinya:

Ayat pertama memerlukan analisis perakaunan.

Ayat kedua memerlukan bukti jenayah, siapa mengambil wang, berapa jumlahnya, bagaimana ia diambil dan ke mana wang itu pergi.

Itulah garis merah yang tidak boleh dipadamkan hanya kerana politik memerlukan slogan yang pantas.

‘Impairment’ Bukan Automatik Kecurian

Ini perlu diterangkan dengan bahasa mudah. ‘Impairment’ bermaksud nilai sesuatu aset yang direkodkan mungkin telah merosot berbanding nilai yang boleh diperoleh atau dipulihkan. Perlu difahami bahawa:

● Ia ialah persoalan nilai dan perakaunan.

● Ia tidak secara automatik bermaksud seseorang mengambil wang tersebut.

Bayangkan sebuah rumah dibeli pada harga RM1 juta. Beberapa tahun kemudian nilainya jatuh kepada RM700,000. Pemilik mengalami kerugian nilai RM300,000. Tetapi tiada siapa semestinya mencuri RM300,000 itu. Nilai aset berubah.

Dalam dunia pelaburan bernilai berbilion ringgit, perubahan nilai, ‘fair value’ dan rosot nilai boleh memberikan kesan besar kepada penyata kewangan.

Sebab itu angka mesti dibaca dengan disiplin. Angka mempunyai tatabahasa. Kalau tatabahasanya salah, kesimpulannya juga boleh tersasar. Justeru, istilah “sakau” dalam konteks ini tidak samasekali tepat, malah meragu dan mengelirukan.

Jangan Guna Teknikal Menutup Tadbir Urus

Namun, jangan pula kita pergi ke hujung yang satu lagi. Mengatakan “tiada bukti kecurian, maka tiada masalah” juga tidak tepat.

RCI bukan sekadar mempertikaikan angka. Ia turut membangkitkan persoalan berkaitan tadbir urus, pengurusan kewangan, pengisytiharan hibah serta ketegasan audit pada ketika itu.

Tabung Haji sendiri pernah menjelaskan mengenai ‘Emphasis of Matter’ berkaitan amalan perakaunan yang tidak konsisten, manakala RCI berpandangan isu berkenaan sepatutnya membawa kepada pendapat audit yang lebih tegas.

Jadi beberapa soalan yang lebih bernilai perlu diutarakan seperti:

● Adakah proses audit mencukupi?

● Adakah piawaian digunakan dengan tepat?

● Adakah pertimbangan profesional boleh dipertahankan?

● Adakah keputusan pengurusan benar-benar menjaga kepentingan pendeposit?

● Adakah wujud kelemahan tadbir urus atau campur tangan yang perlu diperbaiki?

Inilah soalan yang cerdik dari fikiran yang matang. Bukan sekadar menjerit “sakau”.

Keadilan Perlu Ruang untuk Menjawab

Satu lagi persoalan penting ialah dakwaan Madinah bahawa beliau telah disapina untuk memberi keterangan kepada RCI, hadir pada masa ditetapkan, tetapi akhirnya tidak dipanggil memberikan keterangan.

Jika benar berlaku demikian, persoalan proses wajar dibincangkan. Bukan kerana seseorang pegawai itu semestinya benar. Tetapi kerana keadilan memerlukan pendengaran.

Orang yang dikritik berhak menjelaskan pertimbangannya. Selepas itu, bukti dan undang-undang menentukan siapa yang benar.

Dalam demokrasi matang, seseorang tidak boleh dianggap bersalah hanya kerana namanya disebut dalam polemik. Dan perlu diperingatkan secara serius bahawa media sosial bukan mahkamah.

Jangan Jadikan Audit Senjata Politik

Institusi audit negara bukan milik mana-mana parti. Malah bukan juga ‘kuda tunggangan’ mana-mana ahli politik.

Hari ini kita menggunakan laporan audit untuk menyerang lawan politik. Esok laporan yang sama mungkin digunakan untuk menyerang pihak yang kita sokong. Ini tidak elok malah tidak sihat berlaku secara sembrono dan amatur.

Akhirnya, yang rosak bukan parti. Yang rosak ialah kepercayaan rakyat terhadap institusi, sudah semestinya Tabung Haji.

Al-Quran mengingatkan prinsip tabayyun, “Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya…” (Surah al-Hujurat, 49:6)

Allah SWT juga berfirman, “…apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisa’, 4:58)

Dan Rasulullah SAW pernah bersabda, “Agama itu nasihat.” (Riwayat Muslim, no. 55)

Ingat dan sedarlah, nasihat bukan cercaan. Kritikan bukan hukuman.

Daripada Polemik Kepada Pembaikan

Machiavelli dalam ‘The Prince’ memahami bahawa persepsi mempunyai kuasa politik yang besar. Tetapi Ibn Khaldun melalui ‘Muqaddimah’ mengingatkan bahawa sesebuah pemerintahan akan melemah apabila keadilan dan kepercayaan mula terhakis.

Maka polemik Tabung Haji sepatutnya membawa kita kepada pembaikan.

● Pertama, terangkan perbezaan antara audit, ‘financial review’ dan RCI kepada masyarakat.

● Kedua, jelaskan istilah seperti ‘impairment’, ‘fair value’, ‘qualified opinion’ dan ‘emphasis of matter’ dalam bahasa mudah.

● Ketiga, kukuhkan tadbir urus, pengurusan risiko dan kebebasan membuat keputusan pelaburan.

● Keempat, perkuat mekanisme hak menjawab bagi individu yang dikritik dalam laporan rasmi.

● Kelima, jika wujud bukti jenayah, serahkan kepada pihak berkuasa dan biarkan proses undang-undang menentukan kesalahan.

Orang bijaksana, luas pengetahuan dan berpandangan jauh tidak semudahnya menukarkan istilah teknikal menjadi hukuman sosial.

Kebenaran Tidak Lahir Daripada Intonasi Tinggi

Isu Tabung Haji isu sensitif yang melibatkan dana rakyat yang menyimpan untuk menunaikan Rukun Islam kelima. Sudah pasti ia:

● bukan pertandingan siapa paling lantang menjerit dan melaung.

● bukan siapa paling cepat menuduh.

● bukan juga siapa paling pantas membela.

Ia juga tentang amanah wang pendeposit, integriti institusi dan kepercayaan rakyat. Mungkin RCI mempunyai dapatan yang perlu dipertahankan. Mungkin Madinah mempunyai penjelasan yang perlu didengar.

Dan mungkin kebenaran sebenar memerlukan kita membaca kedua-duanya dengan lebih teliti; melalui dokumen, angka, metodologi, bukti dan kesaksian.

Kerana kebenaran kadangkala tidak duduk sepenuhnya di satu kerusi. Jangan biarkan “sakau” lontaran suara dari oknum sasau, menjadi perkataan paling besar sedangkan bukti menjadi perkara paling kecil.

Dalam urusan amanah umat, angka mesti dibaca dengan ilmu, tuduhan mesti disokong bukti, dan setiap manusia mesti diberi ruang untuk didengar.

Kerana akhirnya, yang perlu kita pertahankan bukan kemenangan politik. Yang perlu kita pertahankan ialah integriti, kebenaran dan amanah; meski jalan yang bakal ditempuhi penuh onak dan ranjau duri

Oleh: Ramlee Wahab – Sri Gading

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Apa Rasional Kedah Tuntut RM200 Juta?

Ini bermakna Kedah secara rasional, memilih untuk tidak mengejar pembangunan demi terus menjadi sebagai ‘jantung beras’ negara. Pilihan rasional ini juga boleh dilihat sebagai suatu ‘pengorbanan besar’ kepada negara.
Read More

Jangan Gadaikan Hak Petani Demi UPOV 1991

Kesilapan telah berlaku dalam rundingan perdagangan terdahulu seperti dalam CPTPP dengan mengikat komitmen Malaysia terhadap UPOV 1991 (ia boleh semak semula). Namun, kesilapan ini tidak patut diulangi dalam rundingan perdagangan dengan EU.
Read More
Total
0
Share