RCI TH: “Kami Mahu Jawapan, Bukan Sekadar Taklimat” – Idris Ahmad

KUALA LUMPUR | 12 Ogos 26 – Keputusan blok pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika Sidang Khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji bukan kerana enggan membahaskan isu itu, sebaliknya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dan menjawab sendiri persoalan yang dibangkitkan.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, pembangkang sebenarnya telah membuat persiapan rapi untuk membahaskan laporan berkenaan, termasuk mengadakan sesi meja bulat sehingga lewat malam sebelum sidang khas berlangsung.

Katanya, kira-kira 15 Ahli Parlimen telah bersedia untuk mengambil bahagian dalam perbahasan, termasuk dirinya sendiri.

“Kita dah bersedia. Kita dah buat semalam round table daripada petang sampai ke malam. Hampir 15 orang yang akan membentang atau membahaskan RCI ini, termasuk saya sendiri pun dah ada bahan-bahan untuk dibentang,” katanya.

Namun, menurut Idris, keputusan untuk meminta sidang ditangguhkan dibuat selepas pihak pembangkang mendapat tahu Anwar tidak dapat hadir kerana sedang menjalani proses pemulihan selepas prosedur perubatan.

Bagi Idris, ketidakhadiran Anwar mengubah konteks perbahasan kerana Perdana Menteri juga merupakan Menteri Kewangan yang mempunyai tanggungjawab langsung terhadap isu kewangan dan pengurusan Tabung Haji.

“Kita minta supaya sidang ini ditangguhkan dan kita nak berhadapan dengan dia. Biar dia yang ada,” katanya.

Idris berkata pembangkang mahu mengemukakan soalan secara terus kepada Anwar, khususnya berhubung isu yang sebelum ini sering dibangkitkan Perdana Menteri sendiri.

“Kita tahu subjek matter yang dia selalu sebut kena dengan ‘sakau’, tapi kita nak beritahu kita nak dia ada dan kita nak tanya berhadapan dengan dia supaya dia sendiri yang menjawab,” katanya.

Bukan tidak mahu bahas RCI

Idris menegaskan keputusan pembangkang keluar Dewan tidak harus ditafsirkan sebagai keengganan untuk membahaskan isu Tabung Haji.

Sebaliknya, katanya, pembangkang mahu perbahasan itu berlaku dalam keadaan semua pihak yang berkaitan, khususnya Perdana Menteri, berada di Dewan untuk memberikan jawapan.

Beliau berkata pembangkang juga tidak mempunyai masalah sekiranya pihak yang didapati bersalah hasil siasatan RCI dibawa ke muka pengadilan.

“Kita tak pernah pun nak lindung siapa yang bersalah. Kita ada mahkamah untuk pengadilan. Yang salah perlu dibawa ke pengadilan,” katanya.

Menurutnya, isu Tabung Haji melibatkan kepentingan hampir sembilan juta pendeposit dan tidak sepatutnya berakhir dengan sekadar penerangan kerajaan.

“Kami mahu jawapan, bukan sekadar taklimat”

Idris turut mempertikaikan keputusan meneruskan sidang selepas permintaan menangguhkannya ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata sesi yang sepatutnya menjadi ruang Ahli Parlimen membahaskan laporan RCI akhirnya diteruskan dengan penerangan menteri.

“Kita nak pastikan bagaimana sudah tiga tahun dilaksanakan ataupun tiga tahun sudah pun benarnya finding oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja ini,” katanya.

Baginya, laporan RCI yang melibatkan kepentingan pendeposit Tabung Haji perlu dibahaskan secara substantif dan bukan sekadar menjadi sesi penerangan kerajaan.

Idris turut menegaskan pihaknya akan terus membawa isu tersebut dalam perbahasan Parlimen akan datang, termasuk ketika perbahasan Belanjawan.

“Kalau nak bincang yang macam ada hari ini, mungkin kita akan bincang di dalam bajet nanti,” katanya.

Keputusan pembangkang itu berlaku selepas Speaker menolak permintaan untuk menangguhkan Sidang Khas RCI Tabung Haji. Speaker menjelaskan sidang boleh diteruskan dengan wakil Kabinet lain selepas ketidakhadiran Perdana Menteri. Susulan itu, blok pembangkang memilih untuk meninggalkan Dewan Rakyat.

Semalam, wakil rakyat PN bertindak keluar dewan ketika sesi sidang dewan Khas berhubung RCI Tabung Haji. Tindakan tersebut dikecam parti BERSATU dan PH. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share