
KUALA LUMPUR, 16 DIS 25 — Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengkritik keras agenda reformasi yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH), dengan menyifatkannya sebagai reformasi import berteras ideologi Barat yang gagal kerana berpaksikan sekularisme dan mengetepikan panduan wahyu.
Dalam tulisan dilaman facebook bertajuk “Kegagalan Reformasi yang Diimport”, Abdul Hadi menegaskan bahawa reformasi versi PH bukan sahaja gagal menyempurnakan kemerdekaan negara, malah mengulangi kesilapan tamadun Barat yang mencapai kemajuan kebendaan tetapi runtuh dari segi kemanusiaan, moral dan akhlak.
Menurut beliau, kegagalan ini berpunca daripada pergantungan kepada prinsip ciptaan manusia semata-mata tanpa berpandukan hidayah Allah.
Beliau turut mengaitkan kegagalan reformasi dengan kegagalan membebaskan negara daripada pengaruh penjajah secara menyeluruh, apabila sistem pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan politik masih beracuan kolonial.
Katanya, walaupun penjajah telah keluar secara fizikal, pengaruh pemikiran dan sistem yang diwariskan terus berakar, sehingga melahirkan pemimpin tempatan yang berfikir dan bertindak seperti penjajah baharu terhadap bangsanya sendiri.
Abdul Hadi juga mengkritik penggunaan slogan reformasi oleh PH yang didominasi DAP, dengan mendakwa ia membawa kepada kerosakan sosial dan moral, termasuk peningkatan masalah bunuh diri, keruntuhan institusi keluarga, gejala buli serta salah laku masyarakat.
Menurutnya, ini mencerminkan kegagalan ideologi sekular yang akhirnya “membakar diri sendiri”, seperti yang sedang berlaku di negara-negara Barat.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya agenda reformasi digantikan dengan konsep islah berteraskan Islam, berpandukan al-Quran dan teladan para nabi, yang menurutnya terbukti berjaya membina tamadun, keadilan dan perpaduan masyarakat majmuk.
Abdul Hadi menegaskan bahawa penyatuan politik Melayu Islam perlu diperkukuh bagi menyelamatkan negara dan menyempurnakan kemerdekaan sebenar yang didakwanya masih belum tercapai. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.