
KUALA LUMPUR, 29 DIS 25 — Krisis politik yang melanda Perlis ketika ini semakin dilihat dari perspektif ‘rampasan kuasa’ oleh Bersatu, susulan tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang bekerjasama dengan tiga ADUN PAS untuk menjatuhkan Menteri Besar daripada PAS, kata penganalisis politik Prof Madya Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut beliau, walaupun tiga ADUN PAS jelas membelakangkan arahan parti dengan menandatangani akuan bersumpah (SD), punca sebenar konflik bermula daripada gerakan lima ADUN Bersatu yang mencetuskan kejatuhan kerajaan negeri sedia ada.
“Dalam konteks politik Perlis, tindakan ini mudah difahami oleh rakyat sebagai cubaan merampas kuasa, kerana PAS ialah parti majoriti dengan sembilan kerusi DUN, manakala Bersatu hanya memiliki lima,” katanya ketika mengulas perkembangan semasa.
Prof Mazlan berkata, keanehan utama dalam krisis ini ialah sikap berdiam diri kepimpinan Bersatu, sama ada di peringkat negeri mahupun pusat, walaupun tindakan ADUN mereka jelas mencetuskan ketegangan dengan rakan gabungan.
“PAS bertindak tegas ke atas tiga ADUNnya dengan melucutkan keahlian mengikut perlembagaan parti. Namun setakat ini, Bersatu tidak mengambil sebarang tindakan terhadap lima ADUN terbabit, termasuk tidak mengeluarkan amaran atau penjelasan rasmi,” katanya.
Menurut beliau, pelantikan Menteri Besar baharu daripada Bersatu hanya mengukuhkan lagi persepsi bahawa langkah menjatuhkan Menteri Besar PAS itu direstui oleh kepimpinan Bersatu, sekali gus menimbulkan kemarahan terbuka dalam kalangan pemimpin PAS.
“Reaksi di media sosial oleh pimpinan PAS, termasuk kenyataan ‘kawan jadi lawan’, menunjukkan isu ini bukan lagi soal teknikal pentadbiran, tetapi krisis kepercayaan politik antara PAS dan Bersatu,” katanya.
Prof Mazlan menegaskan, jika persepsi rampasan kuasa ini tidak diperbetulkan melalui penjelasan dan rundingan politik yang jujur, krisis di Perlis berpotensi menjadi titik perpecahan serius dalam Perikatan Nasional.
“Ini boleh menjadi turning point kepada putusnya hubungan PAS dan Bersatu. PAS berasa dikhianati apabila negeri yang mereka kuasai secara majoriti akhirnya diterajui oleh Bersatu,” katanya.
Beliau menambah, berdasarkan kronologi semasa, konflik politik Perlis kini bukan sekadar isu negeri, sebaliknya mencerminkan pertarungan kuasa dalaman PN yang boleh memberi kesan besar terhadap kestabilan gabungan itu di peringkat nasional. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.