Resolusi : Perjanjian ART Jadikan Malaysia Naungan AS, #TolakART #TurunAnwar

KUALA LUMPUR, 4 NOV 25 — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai satu resolusi bersama menolak Perjanjian Timbal Balik Amerika Syarikat–Malaysia yang didakwa “menggadaikan kedaulatan negara” serta “menjadikan Malaysia sebagai negeri naungan Amerika Syarikat.”

Dalam kenyataan bersama yang turut ditandatangani oleh beberapa tokoh ternama termasuk Tan Sri Syed Hamid Albar, Tan Sri Dr Rais Yatim, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Dato’ Seri Amiruddin Hamzah, mereka mendakwa perjanjian yang diluluskan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Kabinet Madani itu berat sebelah dan memihak kepada kuasa luar.

“Perjanjian ini mengikat Malaysia kepada rentak tarian Amerika Syarikat dan mengorbankan kemerdekaan ekonomi serta kebebasan berdagang dengan negara lain,” menurut resolusi tersebut.

Kumpulan itu turut menegaskan perjanjian tersebut memberi ruang campur tangan Amerika dalam hampir semua sektor strategik termasuk makanan, pertanian, telekomunikasi, ketenteraan, nuklear, dan nadir bumi. Mereka mendakwa perjanjian itu melanggar Perlembagaan Persekutuan, menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu, serta mengabaikan hak-hak negeri dan bumiputera.

“Exit clause yang disebut oleh Perdana Menteri hanyalah helah yang tidak mampu menyelamatkan negara daripada perangkap ini,” tegas kenyataan itu, sambil menuntut agar Anwar dan kabinet beliau meletak jawatan sebagai langkah bertanggungjawab.

Resolusi tersebut disokong oleh beberapa bekas ahli politik, peguam, ahli akademik dan wakil NGO, termasuk Dr Muhammad Khalid, Zainur Zakaria dan Rafique Rashid Ali. Mereka turut melancarkan seruan dengan tanda pagar #TolakART dan #TurunAnwar bagi membantah perjanjian berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share