
KUALA LUMPUR, 12 Jun 25 – Peguam Siti Kassim mendakwa gagasan Payung Orang Melayu diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah retorik untuk memperjuangkan segelintir Melayu elit.
Dakwanya, slogan perjuangan untuk orang Melayu sebenarnya tidak menguntungkan kebanyakan daripada mereka sebaliknya digunakan semata-mata untuk meraih sokongan ketika pilihan raya.
“Semua dalam kerajaan majoriti tak pernah lagi perdana menteri bangsa lain semua Melayu. Sebabnya ini politik nak jatuhkan ini, nak jatuhkan itu jadi digunakan hak Melayu. Kita kaum Melayu dipergunakan kaum melayu elit. Mereka gunakan kita. Celik mata sikit.
“Hak Melayu melayu saya tak tahu apa hak diambil. Saya rasa mereka bersekongkol untuk hak Melayu elit. Kita Melayu Malaysia kena buka mata, sedar kita tak mahu jadi rakyat Malaysia bodoh dan sedar jangan terpedaya janji kosong mereka,” katanya, dalam rakaman video yang disiarkan di media sosial baru-baru ini.
Siti mendakwa, masalah sebenar Melayu adalah kumpulan ahli politik seperti PAS, Umno, dan Bersatu yang menunggang isu berkaitan kaum dan agama.
“Saya nak cakap dengan geng-geng Tun Mahathir daripada Bersatu, PAS, dan Umno, kita orang Melayu di akar umbi faham masalah orang Melayu. Di Malaysia orang Melayu macam kamu sebenarnya masalah kita.
“Isu agama dan bangsa dua identiti manusia paling mendalam sebenarnya. Malangnya dua perkara ini digunakan sebagai senjata dalam politik di Malaysia, daripada memupuk perpaduan diputar-belit menjadi alat perpecahan mencetuskan kebencian dan ketakutan untuk memanipulasi orang ramai terutamanya Melayu,” katanya.
Katanya, dengan perpecahan itu akan muncul pentadbiran kuku besi untuk mengawal rakyat.
Sedangkan katanya, bila rakyat berpecah adalah sukar untuk mencari kebersamaan.
Tambahnya, apabila ahli politik guna retorik pecah belah dan memupuk mentaliti “kita vs mereka”, ia boleh hakis kepercayaan terhadap institusi kerajaan dan demokrasi.
“Politik yang didorong ucapan benci dan teori konspirasi wujudkan suasana keganasan mungkin akan berlaku.
“Kita dengar banyak retorik daripada orang politik dan geng mereka mengatakan Cina dapat ini Melayu tak dapat ini, politik perpecahan boleh memburukkan perpecahan sosial dan etnik yang kita ada.
“Menyukarkan kumpulan yang ada hidup bekerjasama. Bila masyarakat berpecah sukar cari penyelesaian masalah bersama,” katanya. @politiko.my