
KUALA LUMPUR, 18 Sep 25 – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengingatkan parti-parti Melayu-Islam agar mengutamakan agenda penyatuan ummah di bawah “Payung Besar Orang Melayu” ketika polemik mengenai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) terus hangat diperdebatkan.
Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa, menegaskan perpecahan sesama parti Melayu-Islam hanya akan membuka ruang kepada pihak lain menguasai politik negara dan melemahkan kedudukan umat.
“UMMAH percaya kuasa politik Melayu-Islam adalah tiang seri dalam menjamin kestabilan negara. Tanpa penyatuan, umat Melayu-Islam akan terus terpinggir dan negara akan kehilangan arah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu hadir ketika PN berdepan pertikaian dalaman mengenai siapa yang wajar diangkat sebagai calon Perdana Menteri – sama ada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal sebagai tokoh utama, atau tokoh lain dalam gabungan diberi laluan.
Menurut Mohd Zai, UMMAH menggesa semua pemimpin politik Melayu-Islam untuk meletakkan kepentingan agenda penyatuan mengatasi kepentingan parti. Disamping itu, UMMAH turut meminta agar semua pihak menghentikan kenyataan serta retorik yang boleh mengguris perasaan sesama sendiri dan kembali ke meja rundingan bagi mencari titik persamaan memperkukuh kerjasama politik.
Beliau menambah, rakyat kini menuntut kepimpinan yang matang, berhemah dan berjiwa besar, bukannya retorik yang mencetuskan perbalahan.
“Semua pihak telah selesai bermuktamar dan bermesyuarat, masing-masing menyatakan impian mereka. Namun akhirnya, kita mesti bekerja ke arah memenangi pilihan raya akan datang,” katanya.
Pemerhati politik melihat kenyataan UMMAH sebagai isyarat bahawa pertikaian berhubung calon Perdana Menteri boleh melemahkan gabungan pembangkang sekiranya tidak ditangani segera. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.