Ritual Thaipusam: Pemuda PAS Gesa Siasatan, PERKASA Mahu Penjelasan

SHAH ALAM | 11 Okt 26 – Pemuda PAS Selangor menggesa pihak berkuasa agama menyiasat dakwaan penglibatan seorang individu beragama Islam dalam ritual keagamaan Hindu yang dikaitkan dengan sambutan Thaipusam di Batu Caves, manakala Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menuntut pengesahan fakta sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, gambar yang tersebar didakwa memperlihatkan individu berkenaan membawa objek keagamaan di atas kepala, memakai kalungan bunga serta mencucuk bahagian lidah dan pipi menggunakan objek logam.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa berkaitan perlu mengesahkan status individu itu serta menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Beliau turut menegaskan bahawa menghormati agama lain tidak bermaksud umat Islam boleh mengabaikan prinsip akidah, sambil mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau menggunakan isu itu untuk menghina penganut Hindu.

Sementara itu, Presiden PERKASA, Borhan bin Ahmad Zakaria berkata, dakwaan yang tersebar menerusi poster media sosial itu belum disokong pengesahan bebas yang mencukupi.

PERKASA menegaskan identiti individu, ketulenan gambar, tarikh, lokasi dan konteks kejadian perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan atau kesimpulan dibuat.

Menurut kenyataan bertarikh 10 Oktober itu, pihak berkuasa wajar meneliti aduan dan bukti yang sahih. Jika terdapat pelanggaran undang-undang, tindakan hendaklah diambil mengikut peruntukan yang terpakai; jika dakwaan tidak benar atau mengelirukan, pembetulan perlu dibuat secara terbuka.

PERKASA turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan tuduhan yang belum terbukti, selain menegaskan bahawa mempertahankan kedudukan Islam tidak memerlukan penghinaan terhadap agama lain atau serangan terhadap mana-mana kaum.

Kedua-dua pihak menggesa isu itu ditangani melalui saluran yang sah. Bagaimanapun, identiti individu dan keadaan sebenar di sebalik gambar yang tular itu masih memerlukan pengesahan.

Terdahulu, tular beberapa foto di media sosial yang didakwa memaparkan seorang individu yang dikatakan beragama Islam, terbabit dalam ritual keagamaan bukan Islam. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share