ROS Sahkan Ahli Tak Berdaftar, Dinasihatkan Gantung Wakil MIPP Dalam PN

KUALA LUMPUR | 15 Jan 26 — Keputusan rasmi Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 5 Disember 2025 mengesahkan berlaku pelanggaran serius Perlembagaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), termasuk penglibatan individu yang tidak berdaftar sebagai ahli dalam urusan parti, sekali gus mencetuskan risiko undang-undang terhadap proses pemilihan Presiden Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat

Menurut dokumen rasmi ROS yang didedahkan oleh kepimpinan MIPP, siasatan terhadap aduan parti mendapati wujud individu yang menjalankan aktiviti dan membuat keputusan bagi pihak MIPP walaupun status keahliannya tidak sah dari sudut perundangan pertubuhan. ROS menyifatkan perkara itu sebagai pelanggaran Fasal 4.2 Perlembagaan MIPP berkaitan keahlian parti.

Selain isu keahlian, ROS turut mengesahkan berlakunya salah urus kewangan apabila dana parti tidak diurus melalui akaun bank rasmi MIPP, susulan status Setiausaha Agung parti yang disahkan bankrap sejak 2016. Keadaan itu didapati melanggar Akta Pertubuhan 1966 serta prinsip ketelusan kewangan parti politik

Siasatan sama turut mendedahkan pelanggaran tatacara keahlian apabila Presiden dan Setiausaha Agung meluluskan pengecualian yuran kepada ahli baharu, tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti dan menimbulkan persoalan terhadap kesahihan struktur keahlian serta mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan.

Berikutan pelanggaran berterusan itu, ROS telah mengeluarkan Surat Amaran Rasmi kepada MIPP atas kegagalan mematuhi peruntukan perlembagaan parti dan undang-undang pertubuhan.

Dalam kenyataan media yang sama, kepimpinan MIPP memberi amaran bahawa sebarang penglibatan individu yang status keahliannya telah dipertikaikan dan kini disahkan bermasalah oleh ROS dalam urusan rasmi PN, termasuk pengundian atau perwakilan dalam pemilihan Presiden PN, berpotensi menyebabkan keseluruhan proses tersebut dicabar secara undang-undang dan diisytiharkan tidak sah pada masa hadapan.

Jurucakap MIPP, Suthan Mookaiah, berkata isu berkenaan tidak boleh dianggap sebagai pertikaian dalaman semata-mata kerana ia melibatkan integriti proses membuat keputusan dalam sebuah gabungan politik nasional.

“Ini soal kedaulatan undang-undang dan integriti Perikatan Nasional. PN tidak boleh mengambil risiko membenarkan individu yang status keahliannya dipertikaikan oleh ROS terus mewakili parti dalam Majlis Tertinggi gabungan,” katanya.

Untuk rekod, isu keahlian dan kesahihan kepimpinan MIPP kini turut berada dalam perhatian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi satu saman interparte, dengan keputusan dijadualkan pada Februari 2026.

Pihak MIPP memaklumkan nasihat rasmi telah dikemukakan kepada Sekretariat PN supaya menggantung penyertaan dan pengundian wakil-wakil MIPP yang dipertikai sehingga status undang-undang mereka diputuskan sepenuhnya oleh mahkamah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share