
KUALA LUMPUR, 28 Ogos 25 – Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua semalam didakwa memusatkan kuasa kepada Menteri Kewangan, dakwa pembangkang.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kegagalan RUU itu melalui proses undian semalam menunjukkan kerajaan sendiri malu untuk mengundi RUU itu.
“Lebih tragis, RUU ini memang dah dikritik beri kuasa mutlak kepada Menteri untuk ‘override’ apa saja. Kini terbukti bukan saja bahaya, malah kerajaan pun malu nak undi.
“Kesimpulannya, kerajaan Madani bukan sahaja gagal pertahan hujah, mereka gagal jaga maruah Dewan. Lari sebelum loceng undi berbunyi. Tahniah Kerajaan Madani — reformasi gaya wayang!,” katanya, dalam hantaran Facebook.
RUU itu sepatutnya melalui proses pengundian malam tadi di Dewan Rakyat namun Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bangkit mengemukakan usul agar persidangan ditangguhkan ditengah-tengah perbahasan ahli Parlimen.
“Ya, ikut Peraturan Mesyuarat 12(1) memang boleh. Tapi guna peraturan ini di saat genting? Itu bukan strategi, itu tanda tak yakin dengan undang-undang sendiri.
“RUU konon ‘reformasi terbesar abad ini’ tiba-tiba mati sebelum sempat diundi, sebabnya, bukan kerana pembangkang bantah, tapi kerana kerajaan sendiri cabut lari!,” kata Wan Ahmad Fayhsal.
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid pula menyenaraikan beberapa peruntukan dalam RUU itu yang memberikan kuasa kepada menteri kewangan.
Antara lain Rafique berkata, Seksyen 2(2) RUU itu memberi kuasa pengecualian pemakaian akta pada menteri manakala Seksyen 10 dan Jadual 1 memperuntukkan kuasa kelulusan RM50 juta ke atas bagi perkhidmatan dan RM100 kita ke atas bagi perbekalan tanpa had siling.
Seksyen 13(3) pula memperuntukkan menteri boleh membuat keputusan bertentangan dengan Lembaga Perolehan tanpa perlu memberi alasan.
Seksyen 24(1) pula menyatakan menteri ada kuasa kecualikan pembekal dari mendaftar yang antara lainnya kata Rafique perlu bagi memastikan dapat melawan rasuah atau telah dapati bersalah atau bankrap.
“Seksyen 30 pula memberikan menteri boleh tetapkan tatacara masa keadaan terdesak. Siapa yang tentukan? Longgar dan boleh dimanipulasi.
“Seksyen 89(1) kuasa untuk buat peraturan-peraturan. Kuasa menteri,” katanya.
“Apa yang sepatutnya baik bagi pastikan isu perolehan telus kini tercemar kerana kuasa atau gila kuasa.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.