“Sabah Ditinggal, Presiden Di Mana?” – Timbalan BPN Teguh Pertahan Ronald

KOTA KINABALU | 11 Feb 26 – Krisis kepimpinan BERSATU memasuki fasa lebih panas apabila Timbalan Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah secara terbuka mendedahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya hadir dua kali sepanjang kempen PRN Sabah, sekali gus mencetuskan persoalan besar tentang komitmen Presiden terhadap negeri itu.

Affan Jumahat dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa ketika calon dan jentera parti berdepan pertarungan getir di lapangan, kehadiran kepimpinan tertinggi amat terhad. Sebaliknya, beliau memaklumkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin konsisten turun padang dalam siri jelajah bagi menyusun strategi dan menaikkan moral jentera.

“Dalam siri jelajah dan kempen pilihan raya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin secara konsisten hadir dalam setiap jelajah bagi memberikan sokongan, menyusun strategi serta menaikkan semangat jentera dan calon di lapangan. Katanya.

Menurut Affan, ketiadaan Presiden pada saat paling kritikal memberi mesej jelas bahawa Sabah bukan keutamaan sebenar kepimpinan pusat. Malah, beliau mengesahkan sentimen tersebut bukan rekaan politik, tetapi dirasai hampir keseluruhan calon yang bertanding dalam PRN lalu.

“Sebagai pimpinan negeri yang terlibat secara langsung dalam PRU DUN Sabah yang lalu, saya mengesahkan bahawa Presiden telah gagal menunjukkan komitmen yang sewajarnya dalam memastikan kesiapsiagaan dan sokongan kepada calon-calon BERSATU di Sabah. Katanya.

Dalam nada lebih tegas, beliau menolak cubaan meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kekalahan BERSATU Sabah ke atas Datuk Seri Ronald Kiandee. Sebaliknya, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada kegagalan sebenar di peringkat kepimpinan tertinggi parti.

“Saya selaku Timbalan Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kenyataan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee. Tegas beliau.

Affan turut membangkitkan kelemahan lebih besar dalam struktur parti apabila mendakwa krisis dalaman dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian matang.

Lebih membimbangkan, menurutnya, suara berbeza pandangan termasuk Timbalan Presiden dan pimpinan akar umbi ditekan melalui tindakan disiplin terpilih, berbanding dilakukan muhasabah secara demokratik.

“BERSATU tidak akan pulih selagi budaya takut bersuara, tekanan disiplin terpilih, dan kepimpinan yang enggan bertanggungjawab terus dipertahankan. Parti ini memerlukan keberanian untuk berubah, dan perubahan itu mesti bermula di peringkat tertinggi. Ujarnya.

Affan secara terbuka menyokong pendirian Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bahawa Muhyiddin wajar mengambil tanggungjawab politik dan berundur daripada jawatan Presiden demi menyelamatkan parti.

Perkembangan ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa gelombang penolakan terhadap Presiden bukan lagi bisikan tertutup, sebaliknya sudah bergerak secara terbuka dari Sabah — negeri yang pernah menjadi antara sandaran penting BERSATU. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share