Sambut General Min: Di Mana Prinsip Hak Asasi Anwar? — Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR | 9 Okt 26 — “Bagaimana PMX boleh percaya kepada jaminan seorang diktator yang sebelum ini terlibat dalam kekejaman terhadap masyarakat Islam Rohingya?”

Itu antara persoalan yang dibangkitkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, susulan sambutan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap Presiden Myanmar, General Min Aung Hlaing, di Putrajaya.

Waytha Moorthy mempersoalkan bagaimana Anwar boleh memberikan keyakinan terhadap jaminan keselamatan pelarian Myanmar yang dihantar pulang sedangkan Min Aung Hlaing, ketika mengetuai angkatan tentera negara itu, berdepan kaitan dengan dakwaan kekejaman terhadap masyarakat Rohingya.

“Bagaimana kita boleh percaya kepada orang yang ketika menjadi Panglima Angkatan Tentera Myanmar memimpin tentera yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan ribuan orang Rohingya dan menyebabkan lebih 700,000 orang menjadi pelarian?” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa operasi ketenteraan Myanmar pada 2017 menyaksikan pembunuhan beramai-ramai, rogol, keganasan seksual, penyeksaan, pengusiran paksa serta pembakaran dan pemusnahan kampung masyarakat Rohingya.

Menurut Waytha Moorthy, pasukan penyiasat bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendokumentasikan pelbagai bentuk kekejaman tersebut, dengan bukti merangkumi gambar, rakaman video, dokumen, peta, imej satelit, bahan media sosial dan bukti forensik.

Beliau turut membangkitkan tindakan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang memohon waran tangkap terhadap Min Aung Hlaing berhubung dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan pengusiran dan penganiayaan masyarakat Rohingya. Permohonan itu perlu dibezakan daripada waran tangkap yang telah diluluskan mahkamah.

“Bukankah General yang sama ini juga yang menggulingkan kerajaan Myanmar yang dipilih secara demokrasi?” soalnya.

Waytha Moorthy turut mempersoalkan rekod demokrasi Myanmar di bawah kepimpinan tentera, termasuk hukuman gantung terhadap empat aktivis pro-demokrasi pada 2022.

Beliau kemudian mengaitkan sambutan terhadap Min Aung Hlaing dengan pendirian Anwar yang selama ini lantang memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia.

“Di mana prinsip demokrasi yang selama ini Anwar perjuangkan? Di mana perjuangan hak asasi manusia yang selalu beliau laungkan?” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Anwar dilaporkan memberi jaminan kepada ahli Parlimen bahawa penghantaran pulang pelarian Myanmar akan dilaksanakan mengikut undang-undang antarabangsa dan beliau tidak akan bersetuju sekiranya terdapat risiko mereka diseksa.

Namun, Waytha Moorthy mempersoalkan bagaimana jaminan itu dapat dipastikan apabila keselamatan pelarian bergantung pada komitmen pihak berkuasa Myanmar.

“Bagaimana Datuk Anwar boleh memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa pelarian Rohingya akan dihantar pulang dengan selamat hanya berdasarkan janji seorang pemimpin tentera yang mempunyai rekod kekejaman seperti ini?” katanya.

Dalam kenyataannya, beliau turut menegaskan bahawa isu pendatang tanpa izin, penempatan tidak sah dan kegiatan perniagaan tidak sah perlu dibezakan daripada soal hak asasi manusia.

“Ya, memang kita ada isu dengan masyarakat Rohingya ini. Kita tidak puas hati dengan penempatan tidak sah dan perniagaan tidak sah mereka. Tapi, itu cerita lain yang harus ditangani dengan cara lain. Ini soal hak asasi dan kemanusiaan,” katanya.

Waytha Moorthy menutup kenyataannya dengan mengingatkan bahawa isu berkenaan bukan semata-mata soal hubungan diplomatik atau penguatkuasaan imigresen, tetapi turut melibatkan tanggungjawab kemanusiaan terhadap mereka yang berisiko menjadi mangsa penindasan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share