SDG-SSE Sebagai Pendekatan Konsensus Nasional Baru

Pada 23 Mei lalu, sebagai Timbalan Pengerusi Kumpulan Rentas Ahli Parlimen Malaysia Tentang Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG), saya telah menutup ‘Forum Matlamat Pembangunan Mampan-Ekonomi Solidariti Sosial (SDG-SSE) ASEAN 2025’ anjuran Akademi MySDG, APPGM-SDG dan Majlis Ekonomi Solidariti Asia (ASEC).

Forum di Kuala Lumpur ini dihadiri peserta-peserta tujuh negara ASEAN (Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Laos, Kemboja dan Malaysia), Jepun dan Hong Kong. Tujuannya ialah membangunkan Peta Pelan SDG-SSE ASEAN 2026-2030.

Dalam konteks ini, saya telah menggariskan lima perkara, iaitu gerakan SSE, membina kapasiti, kerjasama pelbagai sektor, SSE sebagai pusat/kompas dan sasaran.

Gerakan SSE. SSE adalah platform yang menggabungkan aktivis-aktivis pelbagai jenis organisasi masyarakat sivil, koperasi, wanita, belia, petani dan sebagainya, untuk melaksanakan projek-projek pembangunan peringkat akar umbi yang menyelesaikan masalah-masalah birokrasi, kelemahan komitmen dan sistem penyampaian kerajaan serta komuniti terpinggir dan kurang-dikhidmat. Ini menjadikan SSE sebuah gerakan pembangunan yang penting. Kini, ia menjadi tonggak program-program SDG di banyak negara, termasuk Malaysia. Di Malaysia, terdapat lebih 900 projek yang melibatkan lebih 140 Ahli Parlimen.

Membina kapasiti. Gerakan SSE perlu memperkasa diri dari segi kepakaran, profesionalisme dan teknologi. Ini bagi menangani cabaran-cabaran yang semakin kompleks serta meningkatkan peranan dan sumbangannya.

Kerjasama pelbagai sektor. Gerakan SSE perlu memperkukuhkan impaknya dalam sektor masyarakat sivil. Selanjutnya, ia perlu meningkatkan kerjasama dengan dua lagi sektor pembangunan, iaitu politik-kerajaan dan perniagaan. Ini perlu berlaku di setiap lapisan, iaitu dari akar umbi hingga antarabangsa. Bagi kerjasama dengan politik, perlu teliti kerana adakalanya rumit. Fokus perlu diberi kepada sektor awam. Manakala dengan perniagaan, ia perlu melewati soal penajaan semata-mata.

SSE sebagai pusat/kompas. Falsafah atau kerangka pembangunan antarabangsa adakalanya bermusim mengikut selera Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Contohnya, dahulu ada Matlamat Pembangunan Milenium (MDG). Kini, ada SDG. Selepas ini, tidak tahu ada apa pula. Justeru, walau apapun keadaannya, SSE perlu diangkat menjadi falsafah atau kerangka pusat dan kompas untuk dasar-dasar pembangunan antarabangsa. Dengan kata-kata lain, SSE sentiasa menjadi penentu arah dan haluan pembangunan antarabangsa.

Sasaran. Pelan Peta ini ialah untuk tahun 2026-2030. Sasarannya haruslah praktikal, dengan menggariskan prioriti-prioriti yang munasabah. Di samping itu, berdasarkan pengalaman lalu, pada sekitar tahun 2027-2028, akan bermula perbincangan tentang apakah falsafah atau kerangka pembangunan antarabangsa pasca-SDG. Jadi, untuk menjadikan SSE sebagai pusat dan kompas pembangunan antarabangsa pasca-SDG, gerakan SSE perlu tangkas untuk ikut serta dalam perbincangan-perbincangan tersebut.

Sementara itu, khusus untuk Malaysia, pada 27 Mei, saya menyertai satu perbincangan antara Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan Ketua Sekretariat APPGM-SDG Datuk Dr Denison Jayasooria. Hamzah mencadangkan cara-cara meningkatkan keberkesanan dan kemampanan projek-projek APPGM-SDG. Denison pula memberikan maklum balas positif dan input-input terhadap saranan Hamzah tentang Konsensus Nasional Baru dan Pembaikan Struktural Ekonomi.

Projek-projek APPGM-SDG yang ditambah-nilai khususnya, dan gerakan SSE amnya, wajar menjadi salah satu pendekatan dalam membangun Konsensus Nasional Baru.//  

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri.     

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share