Bendera Terbalik – Ada Sesuatu Yang Tidak Beres Dalam Masyarakat

Isu bendera Malaysia yang dikibarkan secara terbalik sepatutnya menjadi kes terpencil, tetapi kini berulang sehingga menimbulkan persoalan yang lebih dalam — adakah ia sekadar kecuaian, atau tanda simbolik bahawa negara sedang dalam keadaan “SOS”?

Bendera bukan sekadar kain berwarna; ia adalah simbol kedaulatan, maruah, dan identiti nasional. Dalam tradisi antarabangsa, bendera yang dikibarkan terbalik sering dilihat sebagai tanda kecemasan atau protes.

Apabila ia berlaku di Malaysia, sama ada di premis kerajaan, sekolah, atau ruang awam, ia memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak beres — sama ada dari segi identiti atau semangat patriotik.

Setiap minggu di sekolah kita yang pernah melalui pengalaman bersekolah, akan membaca Rukun Negara, khususnya prinsip “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”.

Pada 2005, kerajaan telah mewajibkan bacaan Rukun Negara pada majlis-majlis rasmi. Samada ia diikuti, wallahualam.

Kemudian, sejak 25 Julai 2023, kerajaan memutuskan pelaksanaan bacaan lafaz penuh Rukun Negara, termasuk mukadimah di semua peringkat sekolah dan program rasmi kerajaan.

Namun, kes bendera terbalik terus berulang, dan ini membuktikan jurang antara bacaan, hafalan dan penghayatan masih jauh dari realiti. Bermakna kesedaran moral terhadap ketatanegaraan dikalangan rakyat, seakan tidak berlaku.

Bacaan Rukun Negara sepatutnya diterjemahkan ke dalam tindakan harian. Ini seharusnya menjadi sikap bagi semua rakyat yang menyayangi dan menghormati negaranya.

Apabila bendera negara pun kita tidak hormati dengan betul, ia menandakan bahawa prinsip-prinsip itu hanya berada di bibir, bukan di hati. Ia seperti mengaku percaya pada Tuhan tetapi mengabaikan nilai kejujuran dan tanggungjawab malah terus berbuat kejahatan tanpa rasa bersalah.

Dalam konteks teknikal pemasangan bendera. Memasang bendera itu bermakna memasang simbol. Katakanlah, anda mahu memasang atau menggantung sebuah potret yang mana ia adalah simbol penghormatan, maka manusia normal pasti akan memeriksa mana kepala mana badan.

Yang hendak digantung bukan lukisan abstrak yang kita tidak tahu mana kepala mana kaki.

Tetapi jika hal asas seperti ini pun tak mampu dilakukan dengan betul – dan berlaku berulang kali, maka kita akan merasa sangsi adakah ianya memang kesilapan teknikal atau disengajakan.

Adakah masalah seperti ini memerlukan suatu gubalan akta atau undang-undang untuk memperbetulkan kesilapan atau kecuaian bodoh ini?

Bendera terbalik bukan sekadar isu teknikal, tetapi cermin kepada tahap penghayatan rakyat terhadap nilai kenegaraan. Kesalahan yang berulang kali ini adalah manifestasi terhadap sesuatu yang tidak beres dalam masyarakat. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share