
PETALING JAYA | 2 Mei 26 – Gerakan awal PAS menjelang PRN Melaka kini dibaca bukan sekadar strategi kerusi, tetapi petunjuk lebih besar: peralihan kuasa dalam blok pembangkang sedang berlaku.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali melihat hasrat PAS untuk bertanding sehingga 16 kerusi sebagai mesej tersirat bahawa parti itu tidak lagi sepenuhnya selesa berada di bawah bayang Bersatu.
Sebaliknya, langkah ini ditafsir sebagai “ujian medan” untuk membuka ruang kepada pakatan baharu yang lebih selari dengan pendekatan ‘Reset’ yang digerakkan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurut penganalisis, keyakinan terhadap Bersatu dilihat semakin terhakis, sekali gus mendorong PAS menyusun semula kedudukan strategiknya dalam Perikatan Nasional (PN).
Memetik laporan FMT, Melaka menjadi medan penting, bukan sekadar pilihan raya negeri, tetapi platform membaca arah angin politik Melayu pasca perpecahan dalaman Bersatu.
Apa yang lebih menarik, pendekatan ‘Reset’ yang dibawa Hamzah – selepas episod penyingkirannya daripada Bersatu, kini mula dilihat sebagai alternatif kuasa dalam blok pembangkang.
Jika PAS benar-benar bergerak ke arah ini, ia berpotensi mengubah struktur kuasa PN daripada paksi Bersatu kepada konfigurasi baharu yang lebih longgar tetapi strategik.
Secara politiko, ini bukan sekadar soal siapa bertanding berapa kerusi. Ini soal siapa sedang membina pusat graviti baharu dalam politik Melayu.
PRN Melaka dijangka berlaku pada tahun ini, sekalipun ia dilihat kecil pada skala PRU, tetapi implikasinya boleh menjadi besar, sama ada mengesahkan dominasi lama Bersatu atau menandakan kelahiran blok baharu di bawah naratif Reset. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.