Nilai Islam Perlu Terus Jadi Asas Dasar, Termasuk Sektor Pelancongan

KUALA LUMPUR | 2 Mei 26 — Pendekatan pembangunan negara perlu terus berpaksikan nilai dan batasan agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Melaka, Khairuddin Abu Hassan.

Beliau berkata, sebagai agama Persekutuan, Islam memainkan peranan penting dalam membentuk kerangka dasar negara, termasuk dalam sektor pelancongan yang semakin berkembang.

“Pembangunan ekonomi tidak seharusnya mengabaikan nilai asas dan sensitiviti masyarakat tempatan. Dasar pelancongan perlu disusun secara seimbang agar selari dengan identiti negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu hadir susulan perbahasan berhubung pendekatan dan hala tuju sektor pelancongan negara, termasuk isu berkaitan kesesuaian program serta kandungan yang dibawa masuk ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairuddin turut merujuk kepada pengalaman pentadbiran lalu di bawah Mahathir Mohamad yang menurutnya berjaya menggabungkan pembangunan ekonomi dengan penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran.

Menurut beliau, prinsip seperti “Bersih, Cekap dan Amanah” yang diperkenalkan ketika itu menjadi antara asas penting dalam memperkukuh tadbir urus negara.

“Sejarah menunjukkan kemajuan boleh dicapai tanpa mengorbankan prinsip asas. Justeru, pendekatan pembangunan hari ini juga perlu mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan nilai budaya serta agama,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa industri pelancongan Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh diketengahkan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada elemen luar yang mungkin tidak selari dengan norma tempatan.

Isu pesta air di Bukit Bintang yang mencetuskan kontroversi bukan sahaja melibatkan isu moral dan budaya, sebaliknya ia hadir ketika negara sedang dalam proses berjimat cermat ketika menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share