
KUALA LUMPUR | 20 Sep 26 – Sejarah Malaysia, khususnya berkaitan era kolonial, masih perlu dinilai semula daripada perspektif masyarakat peribumi dan tidak hanya berdasarkan kerangka serta logik penjajah, kata sejarawan dan Pensyarah Kanan Seksyen Sejarah, Pusat Pengajian Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Azmi Arifin.
Beliau berkata, setiap tafsiran sejarah ditentukan oleh sesuatu acuan, pandangan atau perspektif yang boleh dipengaruhi pelbagai faktor termasuk ideologi, fakta, bukti, agama, kaum dan politik.
Menurutnya, persoalan penting dalam memahami sejarah Malaysia ialah perspektif yang digunakan untuk mentafsir sesuatu peristiwa, khususnya apabila membincangkan sejarah zaman kolonial.
“Logik apa yang kita harus gunakan? Adakah logik penjajah atau logik masyarakat peribumi?” katanya dalam satu hantaran video bertajuk “Sejarah adalah berdasarkan acuan dan perspektif”.
Azmi berkata, penggunaan perspektif kolonial menyebabkan sesuatu sejarah dilihat berdasarkan kepentingan dan logik pihak penjajah, termasuk melalui istilah serta kategori yang digunakan dalam catatan British.
Beliau memberi contoh istilah seperti Perjanjian Pangkor, sistem penasihat, sistem residen, Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu yang menurutnya terbentuk daripada perspektif seorang penjajah atau pegawai British.
“Kalau kita menggunakan logik ini, akhirnya kita akan terperangkap dengan naratif tersebut,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata sejarah perlu turut dilihat daripada perspektif peribumi bagi menilai sama ada istilah dan tafsiran yang diwarisi daripada catatan kolonial benar-benar menggambarkan pengalaman masyarakat pada ketika itu.
Mengambil Perjanjian Pangkor sebagai contoh, Azmi mempersoalkan sama ada peristiwa tersebut wajar terus difahami sebagai sebuah “perjanjian” apabila dilihat daripada perspektif masyarakat peribumi.
Katanya, British sendiri menggunakan istilah Pangkor Engagement dan bukannya Treaty of Pangkor, manakala dari sudut peribumi, proses tersebut perlu dilihat dalam konteks paksaan dan penipuan.
“Kalau tanya saya perjanjian Pangkor dia wujud ke tidak? Saya kata ini penipuan di Pangkor. Dia jelas adalah satu penipuan. Dia bukan perjanjian pun,” katanya.
Azmi turut menjadikan Darurat 1948 sebagai contoh bagaimana perspektif boleh mengubah kefahaman terhadap sesuatu peristiwa sejarah.
Menurutnya, istilah “darurat” atau Emergency merupakan istilah yang digunakan British untuk menggambarkan usaha membendung ancaman komunis dan PKM di Tanah Melayu.
Namun, katanya, dari sudut lapangan, tindakan British ketika itu bukan hanya menyasarkan kelompok komunis tetapi turut melibatkan kelompok nasionalis yang menentang British dan menuntut kemerdekaan.
“Kalau darurat itu cuba difahami dalam masyarakat peribumi dari perspektif peribumi terutama kelompok nasionalis yang menentang British, darurat itu bukan darurat,” katanya.
Beliau turut merujuk kajian sarjana yang menurutnya menjelaskan bahawa istilah “darurat” digunakan sebagai konsep perhubungan awam bagi menjaga imej British di persada antarabangsa, khususnya dari sudut pandang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Azmi berkata, dari sudut British, penggunaan istilah darurat membolehkan tindakan mereka digambarkan sebagai usaha menghadapi ancaman dan pemberontakan komunis.
Namun, dari perspektif kelompok nasionalis, beliau berkata peristiwa tersebut boleh dilihat sebagai perang kolonial British untuk mengekalkan kuasa di Tanah Melayu serta mengekang tuntutan kemerdekaan.
Menurutnya, perbezaan tersebut menunjukkan bahawa logik dan kemunasabahan memainkan peranan penting dalam memahami sejarah, selain fakta dan bukti yang digunakan.
“Ini bukan hanya berasaskan pada bukti dan juga menunjukkan sejarah saja, tapi juga bagaimana kita nak melihat perspektif itu dari sesuatu pandangan atau minda mereka yang melalui zaman tersebut,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya sesuatu peristiwa hanya dilihat daripada perspektif British, istilah dan tafsiran yang digunakan oleh pihak penjajah akhirnya akan diterima sebagai gambaran sejarah yang muktamad.
Sebaliknya, perspektif masyarakat peribumi perlu diberi perhatian supaya sesuatu peristiwa dapat dinilai berdasarkan pengalaman serta keadaan masyarakat yang melaluinya.
Azmi berkata, perjanjian-perjanjian yang digunakan untuk mengabsahkan tindakan penjajah juga perlu dinilai secara kritikal kerana terdapat sarjana yang mengaitkannya dengan konsep legal fiction, iaitu proses yang digunakan untuk menjadikan tindakan penjajah kelihatan sah.
Justeru, beliau menegaskan bahawa persoalan utama dalam memahami sejarah bukan sekadar apakah fakta yang direkodkan, tetapi juga siapa yang membentuk acuan, perspektif dan logik di sebalik tafsiran sejarah tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.