Selamat Menyambut Hari SST -Cukai Madani

Sejak mengambil alih teraju pentadbiran negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan retorik ‘Reformasi fiskal’ – satu istilah yang kedengaran muluk tetapi sarat dengan beban tersembunyi.

Salah satu langkah yang kini sedang menjerut leher rakyat marhaen ialah peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Di bawah slogan Madani, Anwar menjanjikan keadilan sosial dan empati terhadap nasib rakyat. Namun realitinya, peluasan SST daripada 8% kepada liputan yang lebih luas — termasuk perkhidmatan logistik, barangan digital, penyelenggaraan, malah beberapa servis harian — memberi kesan langsung kepada kos sara hidup.

‘Reformasi Fiskal’ – Yang paling terasa ialah kelas pekerja, usahawan kecil, dan pengguna biasa, bukan golongan maha kaya.

Jika seribu ringgit untuk kos SST bagi golongan maha kaya, bukanlah besar mana. Tetapi satu ratus ringgit bagi golongan marhaen, itu satu nilai yang membocorkan poket mereka.

Apa yang lebih mengguris hati dan poket rakyat ialah, SST digambarkan oleh Anwar sebagai ‘lebih mesra rakyat’ berbanding GST Najib yang dikutuknya dahulu. Tapi hari ini, pada hakikatnya, SST versi Anwar ini lebih menjerut kita semua.

Lebih parah, langkah ini hadir di saat ekonomi masih rapuh pasca pandemik, gaji tidak naik dengan signifikan, pekerjaan tidak stabil dan harga barang terus meroket naik.

Kerajaan seolah-olah gagal memahami bahawa kemiskinan bukan statistik – ia realiti harian di pasar, di dompet, di meja makan rakyat.

Kerajaan hari ini mewar-warkan ketelusan dan kebertanggungjawaban fiskal, namun berdiam diri tentang ketirisan, projek mega Kota Madani, dan pengurusan aset GLC seperti Petronas.

Pada masa yang sama, rakyat disuruh “memahami situasi fiskal negara”, tetapi tiada iltizam politik untuk menegur pemborosan dalam lawatan-lawatan bergaya PM ke luar negara.

Gerakan Reformasi yang pernah menghentam kerakusan kerajaan, kini berbalik menghentam rakyat. Jika cukai ini diteruskan tanpa pembetulan struktur dan tanpa menoktahkan pembaziran elit, maka kerajaan Madani ini hanyalah wajah baru kepada sistem lama yang terus menindas dari atas ke bawah.

Peluasan SST di bawah pentadbiran Anwar bermula hari ini bukan sekadar langkah ‘reformasi fiskal’, tetapi gerakan ‘reformasi menekan rakyat’ untuk menyelamatkan janji-janji kosong Anwar Ibrahim.

“Reformasi” sudah menjadi alat menekan, bukan membebaskan, maka rakyat wajib menilai semula siapa yang benar-benar memperjuangkan mereka dan siapa yang sekadar menunggang slogan untuk berpaut di dahan kuasa. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share