Penceroboh Tanah: Kerja “Petani Kecil” Atau Kartel?

Kemurkaan Sultan Pahang terhadap pencerobohan tanah di Raub menimbulkan satu persoalan yang lebih besar: mengapa kerakusan ini dibiar berlarutan hingga institusi raja terpaksa bersuara demi melindungi tanah negeri?

Lebih penting, siapa sebenarnya yang selama ini menjadi “payung tidak rasmi” kepada pencerobohan sistematik ini?

Naratif yang sering dijaja oleh pihak tertentu bahawa pencerobohan tanah di Raub adalah usaha “petani kecil” mempertahankan mata pencarian, adalah separuh benar dan separuh manipulatif.

Siasatan awam dan laporan media sejak 2020 menunjukkan bahawa banyak kawasan yang diceroboh telah diusahakan secara besar-besaran dengan pulangan jutaan ringgit hasil durian Musang King, khususnya untuk pasaran eksport. Ini bukan kerja “petani kecil” seperti didakwa.

Persoalannya: bolehkah “petani kecil” mengurus kebun 100 ekar, membina infrastruktur bekalan air sendiri, dan menjual hasil terus ke luar negara?

Di sebalik ladang-ladang ini wujud rangkaian kartel pertanian yang sudah terlalu lama selesa kerana dilindungi oleh kekosongan penguatkuasaan dan mungkin—perlindungan politik.

Maka, apabila 30 NGO bangkit menentang cadangan “pemutihan”, mereka sebenarnya sedang menyerang akar kepada satu sistem pelindungan gelap yang telah membenarkan penjenayahan terhadap tanah negeri.

Ketika Sultan Pahang menzahirkan kemurkaan secara terbuka, itu bukan sekadar mesej kepada penceroboh, tetapi juga isyarat keras kepada kerajaan negeri, agensi penguatkuasaan, dan orang-orang politik yang selama ini berdiam diri.

Apakah selama ini Sultan tidak dimaklumkan sepenuhnya? Atau adakah suara baginda telah lama diketepikan oleh mereka yang mempunyai kepentingan bisnes dalam hasil bumi negeri?

Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa eksekutif terletak pada kerajaan negeri. Maka, adakah pihak eksekutif Pahang sedang menunggu lampu hijau politik tertentu sebelum mengambil tindakan?

Jika ya, ini bukan sahaja satu penghinaan kepada institusi raja, tetapi satu perbuatan khianat terhadap negeri dan rakyat.

Cadangan pemutihan kawasan yang telah diceroboh bukanlah satu penyelesaian—ia adalah pengiktirafan rasmi terhadap kegiatan haram. Ia memberi mesej bahawa sesiapa yang cukup kuat, cukup berpengaruh, dan cukup kaya, boleh mencuri tanah kerajaan dan kemudian menuntut pengampunan.

30 NGO menolak cadangan ini kerana mereka faham bahawa tindakan itu akan menjadi preseden berbahaya. Apakah selepas ini pembalak haram juga akan minta “pemutihan” jika cukup lama dalam hutan?

Atau adakah ada tangan-tangan korporat dan kroni politik yang sudah lama mengintai cara untuk “menswastakan” hutan simpan melalui pencerobohan, kemudian pemutihan? Apakah ini modus operandi kartel?

Desakan oleh PN Pahang agar tindakan diambil terhadap penceroboh tanah adalah langkah yang betul. Namun, sejauh mana keberkesanannya, harus dituntaskan apabila menjadi kerajaan, bukan seperti kes Lynas oleh DAP. Apabila menjadi kerajaan, hilang ghaib isu yang dibantahnya.

Tanah kerajaan bukan milik sesiapa. Ia milik rakyat dan warisan generasi. Apabila ia dirampas oleh segelintir, dan pemimpin kita memilih untuk memutihkan kesalahan daripada mempertahankan undang-undang, maka kita telah gagal sebagai negara.

Sultan sudah murka. Rakyat sudah bangkit. NGO sudah bersuara. Kini, giliran kerajaan negeri untuk bertindak—atau dipertanggungjawabkan secara politik dan moral. @analitiko

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Kenapa Melayu Mesti Bersatu?

Ini kerana pemerintah ketika ini seakan-akan tidak mengiktiraf Melayu yang super majority untuk dijadikan paksi kepada dasar pembentukan negara (state-making), pembangunan bangsa (nation-building) dan pembangunan negara (national development).
Read More
Total
0
Share