
PUTRAJAYA | 5 Sep 26 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung serta-merta pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman.
Keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat berpandangan individu yang masih dalam siasatan dan belum didakwa tidak perlu dipakaikan baju oren kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif.
Anwar berkata, mereka yang memberikan kerjasama dalam siasatan wajar disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan pendakwaan diputuskan.
“Semalam saya juga sampaikan, sebelum pendakwaan atau sebelum dihadapkan dan didakwa, baju jingga tidak perlu,” katanya.
Tidak lama selepas kenyataan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengumumkan OKS kini dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala baju lokap hanya dipakai sepanjang berada dalam tahanan di lokap.
Bagaimanapun, SPRM menegaskan aspek keselamatan tetap diberi perhatian dan pemakaian gari masih bergantung kepada keadaan tertentu, dengan pengecualian bagi OKS yang uzur, OKU, kanak-kanak dan warga emas.
SPRM turut menegaskan semua tindakan pengendalian OKS akan terus dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berhemah serta selaras dengan undang-undang dan prosedur ditetapkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.