Selepas Setahun, Akhirnya 22 Ahli GISB Dibebaskan

KUALA LUMPUR, 7 NOV 25— Selepas lebih setahun menjalani tahanan reman, 22 ahli GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd. Ali, hari ini dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap mereka atas kesalahan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Dalam keputusan yang disampaikan oleh Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap Nasiruddin bersama 12 kepimpinan tertinggi lelaki GISBH, manakala sembilan ahli wanita kumpulan itu dikenakan denda RM4,500 setiap seorang.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh lelaki kini telah bebas selepas menjalani hukuman penjara 13 bulan 10 hari bermula tarikh tangkapan antara 25 Sept hingga 12 Okt tahun lalu. Sembilan tertuduh wanita turut dibebaskan selepas membayar denda berkenaan.

Hakim Latifah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah kesemua tertuduh serta rayuan meringankan hukuman yang dikemukakan pihak pembelaan.

“Mahkamah berpuas hati bahawa semua tertuduh telah insaf dan menyesali perbuatan mereka. Faktor reman yang panjang turut diambil kira dalam menjatuhkan hukuman ini,” katanya.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pembelaan supaya 22 unit telefon bimbit milik tertuduh yang tidak lagi menjadi bahan eksibit, dipulangkan semula melalui proses pentadbiran.

Antara mereka yang mengaku bersalah ialah isteri Nasiruddin, Azura Md. Yusof, 58, serta anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33, selain 19 individu lain.

Lapan daripada mereka ialah wanita iaitu Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.

Sementara itu, 11 tertuduh lelaki lain ialah Hasnan Abd. Hamid, Mohd. Shukri Mohd. Noor, Mokhtar Tajuddin, Shuhaimi Mohamed, Muhammad Afdaluddin Latif, Mohamad Sayuti Omar, Mohd. Fazil Md. Jasin, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, Abu Ubaidah Ahmad Shukri dan Muhammad Fajrul Islam Khalid.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024, mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Sebelum ini, mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.

Namun, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada kesemua 22 individu berkenaan, mereka ditawarkan pertuduhan pilihan yang lebih ringan. Prosiding rayuan dan hukuman dijalankan di Kompleks Penjara Kajang, bagi memudahkan urusan tahanan reman tertuduh lelaki. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share