
KUALA LUMPUR, 8 Ogos 25 – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasa apabila mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat penafian Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan presiden Bersatu itu menyokong warga asing menerima subsidi minyak.
Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen PAS itu berkata tindakan Anwar adalah penyalahgunaan kuasa eksekutif serius, yang melibatkan campur tangan politik ke atas badan penguat kuasa yang sepatutnya bertindak bebas dan profesional.
Ahmad Fadhli berkata penafian Muhyiddin tidak membawa sebarang unsur ancaman, penghinaan atau komunikasi tidak wajar yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Seksyen ini hanya terpakai ke atas penyebaran kandungan berbentuk lucah, palsu yang menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu dan tidak meliputi penafian terhadap kenyataan politik yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.
“SKMM bukan alat eksekutif dan tidak boleh diarah sewenang-wenangnya.
“Mengikut Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589), SKMM hendaklah menjalankan fungsinya secara bebas dan tidak tertakluk kepada arahan mana-mana pihak, kecuali jika dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.
“Maka, arahan lisan atau terbuka oleh perdana menteri terhadap SKMM berhubung perkara yang menyentuh pertikaian politik peribadi adalah tidak wajar dan menyalahi semangat kebebasan institusi,” kata Ketua Penerangan PAS itu lagi.
Arahan tersebut dikeluarkan semalam selepas Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN menafikan pernah membuat kenyataan seperti yang didakwa dan mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti bahawa dia mempertahankan warga asing dalam isu subsidi tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.