Zara Qairina Tidak Jatuh atau Ditolak Secara Tidak Sengaja, Kata Pakar Patologi

KUALA LUMPUR, 3 September 2025 — Prosiding Inkuiri Koroner mengenai kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, hari ini mendapati bahawa kematiannya tidak disebabkan oleh terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di tepi penghadang konkrit di koridor asramanya.

Dr Jessie Hiu, pakar patologi forensik dari Hospital Queen Elizabeth, menyampaikan fakta itu di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Dr Hiu menjelaskan bahawa palang logam mendatar pada penghadang konkrit di tingkat tiga berukuran 118 cm, manakala ketinggian antemortem Zara adalah 154 cm — perbezaan 36 cm, jauh melebihi tiga perempat ketinggian badan remaja tersebut dan kemungkinan melebihi pusat gravitinya.

“Perbezaan antara ketinggian si mati dan bahagian paling atas palang logam mendatar itu ialah 36 cm. Ketinggian palang logam terbabit melebihi tiga perempat daripada ketinggian remaja itu dan mungkin melebihi pusat graviti badannya. (Bagi wanita, pusat graviti biasanya terletak di kawasan pelvis, selalunya sedikit di bawah pusat badan ketika dalam posisi berdiri).

“Berdasarkan ukuran itu, saya berpandangan tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah penghadang konkrit di sepanjang koridor, katanya memetik laporan Bernama.

Prosiding turut membuka maklumat mengenai pemeriksaan di tempat kejadian yang dijalankan pada 2 Ogos lalu di Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratua’yun SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut. Pemeriksaan ini meliputi pengkajian terhadap rekod perubatan, termasuk radiograf, imbasan CT dan CTA.

Dari segi keadaan jenazah, Dr Hiu memaklumkan bahawa Zara berada dalam tahap pereputan sederhana hingga lanjut, seiring dengan tempoh pengebumian. Namun, tisu seperti otak telah terjejas, manakala tisu luaran dan dalaman masih mencukupi untuk pemeriksaan lanjut.

Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.

Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share