
MELAKA | 12 Okt 26– Sidang Meja Bulat Wawasan Baru Melaka menggariskan empat bidang utama yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi negeri, termasuk ekonomi digital, industri maritim, industri hiliran bernilai tinggi dan pembangunan bakat anak tempatan.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Mohd Hamdan Mohd Sharif, berkata Melaka memerlukan pembaharuan hala tuju yang berani dengan visi ekonomi jelas, sasaran boleh diukur dan usaha membuka sumber kekayaan baharu.
“Melaka tidak boleh bergerak ke era baharu jika pentadbirannya sekadar mengurus rutin tanpa visi negeri, terutamanya ekonomi yang jelas,” katanya selepas sidang meja bulat yang berlangsung di Air Keroh D’Village, Melaka, pada 11 Oktober lalu.
Menurut Hamdan, perbincangan itu turut menekankan keperluan memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, khususnya dari segi pekerjaan berkualiti, peluang keusahawanan dan masa depan anak tempatan.
Antara cadangan yang diketengahkan ialah memperluas ekonomi digital menerusi pembangunan perisian, keselamatan siber dan perkhidmatan digital bernilai tinggi, selain meneroka potensi industri pembaikan kapal, kejuruteraan marin serta logistik.
Melaka juga perlu meningkatkan nilai produk melalui pemprosesan, reka bentuk, penjenamaan dan pengeluaran produk siap supaya lebih banyak nilai ekonomi kekal di negeri itu.
Hamdan berkata, pembangunan bakat tempatan perlu diselaraskan dengan keperluan industri agar anak Melaka bukan sahaja menjadi tenaga kerja mahir, malah berpeluang menjadi pemilik perusahaan dan peneraju pembangunan.
“Ukuran kejayaan pentadbiran mesti sampai ke meja makan rakyat. Berapa banyak pekerjaan bergaji tinggi diwujudkan? Berapa ramai usahawan tempatan mendapat peluang?” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembaharuan ekonomi perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan warisan budaya, pengukuhan kehidupan sosial serta pengagihan manfaat pembangunan secara lebih meluas.
Hamdan berkata, pentadbiran yang berwawasan perlu menetapkan sasaran jelas, menjelaskan pelaksanaan dan melaporkan hasilnya kepada rakyat bagi memastikan hala tuju pembangunan Melaka dapat dinilai secara berkesan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.