
KUALA LUMPUR | 25 Mac 26 – Satu dakwaan serius oleh ahli perniagaan, Victor Chin yang mendakwa seorang wakil rakyat daripada PKR telah menerima sebanyak RM9.5 juta sebagai sebahagian daripada urusan untuk campur tangan dalam isu yang dikaitkan dengan apa yang digelarnya sebagai “mafia korporat”.
Memetik laporan media, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada RM10 juta yang diminta, namun baki RM500,000 tidak diserahkan selepas masalah yang dijanjikan gagal diselesaikan.
Lebih mengejutkan, Chin memberi kata dua samada wang tersebut mesti dipulangkan sebelum hujung bulan ini, atau identiti Ahli Parlimen terbabit akan didedahkan kepada umum.
Dakwaan itu disertakan dengan dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi kejadian, termasuk usaha mendapatkan dana serta interaksi yang didakwa berlaku antara kedua-dua pihak.
Isu ini tidak terhenti pada dakwaan rasuah semata-mata. Chin turut mendakwa beliau menjadi sasaran kumpulan tertentu yang cuba mengambil alih kawalan sebuah syarikat tersenarai, sekali gus mencetuskan persoalan tentang kewujudan rangkaian lebih besar dalam dunia korporat.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang didakwa membekukan ratusan akaun bank berkaitan siasatan pengubahan wang haram, yang menurutnya memberi kesan kepada ramai pihak termasuk pelabur dan rakan niaga.
Chin turut menggesa Ketua Polis Negara untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi membongkar kebenaran di sebalik skandal tersebut, termasuk kemungkinan wujud campur tangan pihak berkepentingan dalam urusan pemilikan saham.
Walaupun identiti Ahli Parlimen yang dimaksudkan masih dirahsiakan, dakwaan ini berpotensi memberi tekanan besar kepada PKR dan kerajaan, khususnya dalam isu integriti serta kepercayaan awam.
Sekiranya pendedahan lanjut berlaku, ia bukan sahaja boleh mencetuskan krisis politik, malah membuka semula perbahasan lama janji Anwar dalam melawan salahguna kuasa dan rasuah. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.