Sokongan Kepada Hamzah Meningkat Selepas Nasihat Kepada Muhyiddin Gagal, Dakwa Wan Fayhsal

KUALA LUMPUR | 2 Jun 26 — Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendedahkan gelombang sokongan terhadap Hamzah Zainudin dalam kalangan pimpinan kanan BERSATU mula memuncak selepas pelbagai teguran dan nasihat kepada Muhyiddin Yassin didakwa gagal membawa perubahan dalam parti.

Menurut beliau, keputusan beberapa pemimpin dan wakil rakyat untuk berpihak kepada Hamzah bukan berlaku secara mendadak, sebaliknya selepas usaha berulang kali menegur kepimpinan Muhyiddin secara tertutup tidak membuahkan hasil.

“Saya berpegang kepada prinsip syarak, berkata benar, tepat dan jujur kepada pemimpin. Itulah yang telah saya sampaikan kepada Dr Marzuki dan TSMY sendiri dalam beberapa pertemuan empat mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Fayhsal berkata beliau dan beberapa pemimpin lain sebelum ini memilih pendekatan berhemah dengan menyampaikan pandangan secara tertutup demi menjaga maruah presiden parti.

Namun, katanya, keadaan berubah apabila pandangan, kritikan dan nasihat yang diberikan tidak lagi mendapat perhatian.

“Apabila kezaliman itu mengancam maqasid politik Melayu-Islam Perikatan Nasional, maka saya bersama rakan-rakan seperti Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Wira Mas Ermieyati tampil menzahirkan penentangan secara terbuka — itupun setelah kami nyatakan pandangan, kritikan, bantahan dan nasihat kepada TSMY tetapi hasilnya gagal,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa kumpulan yang kini menyokong Hamzah terdiri daripada individu yang tidak memahami keadaan sebenar parti.

Sebaliknya, Wan Fayhsal menegaskan mereka merupakan antara pemimpin yang terlibat secara langsung dalam mesyuarat, pembentukan dasar serta pengurusan parti sejak hampir lima tahun lalu.

“Kami yang 19 ahli Parlimen dan 20 ADUN menyokong DS Hamzah adalah bekas pemain utama BERSATU. Kami yang hadir mesyuarat, merangka strategi, membentuk dasar dan menguruskan parti hampir lima tahun lamanya,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau mempertahankan Hamzah daripada dakwaan kononnya tidak mempunyai pengaruh dalam BERSATU dan hanya bergantung kepada Muhyiddin untuk berada di kedudukan tertinggi parti.

Sebaliknya, beliau mendakwa Hamzah mendapat penghormatan luas dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya daripada kepimpinan PAS, selain memainkan peranan penting dalam pengurusan parti dan gabungan pembangkang itu.

Wan Fayhsal juga mendakwa ramai pemimpin akar umbi BERSATU lebih cenderung merujuk kepada Hamzah berbanding Muhyiddin dalam urusan parti kerana Timbalan Presiden itu lebih dekat dengan struktur organisasi dan kepimpinan bahagian.

Beliau berkata perkembangan itu menjelaskan mengapa semakin ramai pemimpin dan wakil rakyat memilih untuk berdiri bersama Hamzah ketika krisis dalaman BERSATU semakin memuncak.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai menjawab serangan bekas pegawai Muhyiddin, Marzuki Yahya, yang sebelum ini mempersoalkan pengaruh dan peranan Hamzah dalam parti. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share