
KUALA LUMPUR, 18 Okt 25 — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengerahkan 40 pegawai dari Putrajaya ke Sabah bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Langkah ini dilihat sebagai amaran awal terhadap amalan politik wang, selain memastikan kempen dan proses pilihan raya dijalankan secara bersih dan telus.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pasukan tersebut akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pusat penamaan calon, kawasan tumpuan kempen, dan pusat pengundian utama di seluruh negeri.
“Mereka bukan sekadar bertugas menerima aduan, tetapi akan memantau pergerakan kewangan, sumbangan, dan sebarang aktiviti mencurigakan sepanjang tempoh pilihan raya,” kata katanya kepada pemberita di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Difahamkan, SPRM juga menubuhkan bilik gerakan khas di setiap bahagian utama Sabah untuk memudahkan orang ramai menyalurkan aduan serta maklumat berkaitan rasuah politik.
Kehadiran pegawai dari Putrajaya itu menandakan komitmen SPRM untuk memperkukuh kawalan terhadap integriti pilihan raya susulan beberapa laporan berhubung politik wang dan dakwaan pembelian sokongan yang sering dikaitkan dengan PRN di negeri berkenaan.
“Tindakan ini bukan bermotif politik. Ia langkah pencegahan bagi memastikan pertandingan berlangsung secara adil dan bebas daripada pengaruh tidak sah,” jelasnya lagi.
Selain pemantauan di lapangan, SPRM juga dijangka memberi taklimat pencegahan kepada calon dan jentera parti bagi mengingatkan mereka tentang larangan perbelanjaan melampau serta pemberian material kepada pengundi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.