Haji : Perkhidmatan Sama, Tapi Kenapa Harga Lain, Soal Jemaah Haji

KUALA LUMPUR, 28 APR 25 – Beberapa pihak dikalangan jemaah haji Malaysia membangkitkan persoalan perbezaan harga antara jemaah yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH), yang menurutnya menimbulkan rasa kurang senang.

Mewakili jemaah yang enggan dikenali merasakan lebih mudah untuk TH menetapkan satu harga untuk semua jemaah haji muasasah tanpa mengira status pendapatan mereka.

“Tetapi dari segi harga tu kita ni lebih suka ada satu harga yang sama untuk semua orang lebih sesuailah…tidak kira dia B40, M40, T20.

“Muasasah ini awak bayar RM19,000 ke kau bayar RM23,000 ke atau RM33,000 ke tempat tinggal sama sahaja.

“Jadi mungkin mungkin ada orang yang bayar RM33,000 tu dia tak berpuas hatilah sebab kenapa aku bayar mahal, dia bayar murah sedangkan aku dan dia pun sama juga duduk sama tempat dekat sini,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin sebelum ini dilapor berkata  bagi musim haji 1444H/2023, kadar bayaran haji untuk jemaah muasasah dalam kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada kadar RM10,980 seorang selepas mengambil kira keputusan kerajaan menanggung RM1,000 daripada kadar asal akibat peningkatan kos haji.

Bayaran haji jemaah muasasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan haji pula, meningkat RM3,000 kepada RM15,980 seorang.

Manakala, jemaah muassasah dalam kumpulan T20 iaitu mereka dengan pendapatan melebihi RM15,000 sebulan akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan Haji iaitu RM30,850 seorang.

Dalam pada itu, seorang lagi jemaah melahirkan sedikit rasa kurang selesa dan memohon agar penambahbaikan dari segi lokasi latihan.

Menurutnya, perlu dibuat penambahbaikan dari segi kemudahan peralatan untuk kursus jemaah haji khususnya di kawasan luar Lembah Klang.

“Antara penambahbaikan dari segi kursus itu, sebab mungkin kita orang ni pergi dekat kursus di masjid yang kecil, masjid tiada dewan, jadi ada yang kursus dia buat kat dewan ada kerusi meja, mungkin daripada segi situlah bila duduk bersila atas lantai ni mungkin dia macam tak sesuai.

“Dari segi persiapan dan persediaan untuk jemaah, memang Tabung Haji sediakan tip top, kata wanita yang juga seorang guru.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci bagi musim 1446H/2025M dijadualkan pada 29 April.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata kumpulan terakhir jemaah yang akan berlepas ke tanah suci bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu pula pada 30 Mei. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share